GEORGETOWN- “Saya teruja untuk vaksin hari ini,” kata G Shivvaen,10 ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Pulau Pinang (HPP) di Dewan Sri Puteri, Jalan Residensi di sini pada Isnin.
Selain dia, adiknya, G Dhanvinn yang berusia lima tahun turut menerima suntikan di PPV sama, yang mana mereka antara kanak-kanak terawal di Pulau Pinang yang menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).
Dia hadir ke PPV itu ditemani ibunya, M Malini, 39 yang juga seorang doktor kanak-kanak di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Menurut murid Sekolah Antarabangsa Wesley Methodist itu, dia sendiri yang mahu disuntik tanpa paksaan dari mana-mana pihak termasuk ibu bapanya sendiri.
Katanya, dengan mendapatkan suntikan vaksin itu, dia yakin untuk pergi ke mana sahaja termasuk sekolah tanpa berasa bimbang untuk dijangkiti.
“Saya gembira apabila proses suntikan ini berjalan lancar. Saya tidak berasa sakit, cuma di tempat suntikan sahaja rasa sakit sedikit.
“Sekarang saya tidak perlu risau lagi untuk pergi ke sekolah atau ke mana sahaja.
Saya harap, kanak-kanak lain juga pergi lah mendapatkan vaksin untuk membolehkan mereka bergerak ke sana sini,” katanya.
Sementara itu, Malini berkata, sebagai seorang doktor kanak-kanak, dia menggalakkan ibu bapa agar memberi sokongan kepada anak mereka untuk divaksin.
Mengulas mengenai anak sulungnya itu, dia berkata, Shivvaen sejak dari dahulu lagi sering bertanya bila suntikan vaksin untuk usianya akan dijalankan.
“Dari dahulu lagi, dia sering bertanya bila saya boleh suntik (vaksin)? Dia memang menunggu untuk divaksin.
“Bagi dia jika divaksin, dia rasa lebih selamat untuk membuat aktiviti dengan rakan sebaya,” katanya.
Dalam pada itu, Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, seramai 40,000 daripada 160,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang sudah berdaftar untuk divaksinasi.
Katanya, untuk permulaan suntikan vaksin menerusi PICKids, ia hanya melibatkan kanak-kanak yang mempunyai komorbid atau tergolong dalam kalangan yang berisiko tinggi.
“Kita mulakan dengan anak-anak yang mempunyai penyakit dan berisiko tinggi. Selalunya ibu bapa yang mempunyai anak seperti ini, takut untuk membiarkan anak mereka divaksin.
“Insya-ALLAH ini adalah salah satu ikhtiar yang terbaik untuk melawan Covid-19 selain mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya.
Beliau juga mencadangkan kepada PPV untuk menyediakan nombor telefon hotline untuk sebarang aduan berhubung kanak-kanak yang telah divaksin.
“Saya mencadangkan hotline disediakan di PPV supaya senang dihubungi ibu bapa sekiranya ingin bertanya mengenai keadaan anak mereka selepas divaksin.
“Oleh demikian, kita boleh sentiasa berhubung untuk mengetahui keadaan kanak-kanak yang ada komorbid dan berisiko tinggi yang telah divaksin. Bagi kanak-kanak biasa, mungkin mereka akan divaksin di sekolah,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan Pihak Berkuasa Ubat-ubatan (DCA) meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, KKM pada ketika ini sedang mengadakan perbincangan dengan pihak pengeluar vaksin itu berhubung jadual penghantaran.
Dalam perkembangan lain, Norlela berkata, sehingga kini, kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) dicatatkan berkurangan selepas program vaksinasi dijalankan.
“Setakat ini hanya tiga pesakit Covid-19 dirawat di ICU manakala kes kematian dan pesakit tahap empat dan lima adalah dalam kalangan mereka yang tidak mendapatkan vaksin.
“Sementara itu, peratusan pesakit tahap satu dan dua adalah 99 peratus. Kerajaan negeri bersiap sedia dari segi fasiliti dan petugas kesihatan sekiranya berlaku peningkataan kes.