KUALA LUMPUR- Individu berusia 60 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi berisiko tinggi dinasihatkan untuk mendapatkan dos penggalak kedua vaksinasi Covid-19 seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), menjelang Hari Raya Aidilfitri bulan depan.
Ketua pegawai eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd Datuk Dr Anas Alam Faizli berkata matlamat pemberian dos penggalak kedua adalah untuk memastikan tahap perlindungan optimum kepada warga emas dan individu berisiko tinggi yang merupakan kumpulan paling berisiko.
“Kami menyambut baik perkembangan ini. Semasa kita memasuki fasa peralihan ke endemik, ia sangat penting untuk kita terus melindungi populasi paling berisiko dan ini adalah salah satu usaha tersebut. Kami juga menerima banyak pertanyaan dan permintaan daripada orang awam mengenai dos penggalak kedua.
“ProtectHealth, melalui pengamal perubatan swasta (PMP) dan organisasi penjagaan kesihatan bukan kerajaan, akan terus membantu dan bekerjasama dengan KKM untuk memaksimumkan dan mempercepat pelaksanaan dos penggalak kedua, selain menggalakkan PMP mengambil bahagian dalam program tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata mereka yang berusia 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi, kini diberi peluang untuk mendapatkan dos penggalak kedua vaksin Covid-19 dengan selang masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh dos penggalak pertama.
Selain itu, remaja berumur 12 tahun dan ke atas dengan sistem pertahanan badan yang lemah, juga diberi pilihan untuk mendapatkan dos penggalak dengan selang masa sekurang-kurangnya 28 hari selepas tarikh dos kedua. – Bernama