Home Koronavirus Delta dominan di Kelantan

Delta dominan di Kelantan

0
Delta dominan di Kelantan

KOTA BHARU – Varian membimbangkan (VOC) Delta kini dominan di Kelantan berdasarkan trend perebakan kes yang banyak selain kadar kematian akibat Covid-19 dicatatkan tinggi sehingga lapan kes setiap hari.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, peningkatan kes dan kematian tersebut direkodkan dalam tempoh sebulan selepas sambutan Hari Raya Aidiladha.

Menurutnya, jumlah itu meningkat sekali ganda dipercayai berkemungkinan berpunca daripada aktiviti ziarah ketika perayaan itu.

“Peningkatan kes antaranya faktor virus ada dalam komuniti menyebabkan wujud sporadik dan kluster di negeri ini,” katanya kepada pemberita di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifli Abdul Rahman.

Dr Zaini sebelum itu menerima sumbangan RM10,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang disampaikan oleh Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, kes harian positif Covid-19 di Kelantan masih mencatat empat angka dengan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R naught (Rt) melebihi 1.0 dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

“Sehingga kini, 35 peratus penduduk negeri ini melengkapkan vaksin dos pertama dan lebih kurang 23 peratus lengkap dos kedua.

“Kita jangka dapat mempercepatkan vaksinasi dengan mencapai sasaran 80 peratus sehingga Oktober ini,” katanya.

Beliau juga berharap bekalan 800,000 vaksin tiba seperti yang dijanjikan pada bulan ini dan berterima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor yang menyumbangkan sebahagian vaksin kepada Kelantan.

Dr Zaini turut menasihatkan masyarakat supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ketika jabatan berkenaan berusaha meningkatkan jumlah vaksinasi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here