Home Koronavirus Cuepacs gesa kerajaan laksana PKP penuh 21 hari

Cuepacs gesa kerajaan laksana PKP penuh 21 hari

Cuepacs gesa kerajaan laksana PKP penuh 21 hari

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan secara penuh bagi tempoh 21 hari.

Presidennya, Adnan Mat berkata, gesaan tersebut dibuat memandangkan situasi semasa menyaksikan perkhidmatan kesihatan negara berhadapan dengan cabaran yang terlalu dahsyat untuk merawat pesakit Covid-19.

“Tempoh 21 hari itu adalah tempoh yang paling minimum bagi membolehkan langkah paling drastik dilaksanakan kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19.

“Sekiranya kerajaan masih lagi menggunakan prosedur operasi standard (SOP) semasa bagi mengekang penularan Covid-19, Cuepacs bimbang perkhidmatan kesihatan negara akan menjadi lumpuh sekali gus mengundang darurat kesihatan yang serius kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Adnan berkata, SOP sedia ada yang dilaksanakan dalam PKP 2.0 dan PKP 3.0 ketika ini dilihat tidak berkesan mengurangkan jangkitan tersebut bahkan semakin meningkat setiap hari.

“Trend peningkatan kes disebabkan terdapat banyak pergerakan orang ramai yang tidak dapat dikawal berikutan kepentingan atau permasalahan ekonomi.

“Di samping itu, terdapat juga kelemahan masyarakat dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan PKP secara penuh seperti 18 Mac tahun lalu mungkin nampak terseksa kepada rakyat tetapi yang lebih menyeksakan adalah pelaksanaan PKP yang tidak menentu.

“Pelaksanaan PKP sekejap buka sekejap tutup yang menyaksikan ekonomi semakin perlahan, pendidikan anak-anak terabai dan kadar pengangguran meningkat.

“Ditambah lagi dengan penularan varian berbahaya daripada Afrika dan India di Malaysia ketika ini, PKP penuh diyakini dapat memastikan negara kembali pada landasan yang terbaik,” jelasnya.

Pada masa sama, Cuepacs juga turut menggesa kerajaan untuk mengawal harga barangan keperluan harian supaya tiada pihak dapat memanipulasi harga jika PKP penuh dilaksanakan.

Tambah beliau, kerajaan juga wajar memberi bantuan kewangan kepada isi rumah yang terjejas sebagai bantuan susulan pelaksanaan PKP dan Bank Negara Malaysia perlu melaksanakan moratorium penuh seperti tahun lalu.

“Ini sebagai inisiatif mengurangkan kesan ekonomi kepada individu dan organisasi.

“Semua agensi kerajaan termasuk Baitulmal perlu turun padang agihkan makanan keperluan kepada semua rakyat tanpa ada seorang pun yang tertinggal,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here