Home Koronavirus Covid-19: Tiga lagi kluster baharu dikesan di Sabah

Covid-19: Tiga lagi kluster baharu dikesan di Sabah

0
Covid-19: Tiga lagi kluster baharu dikesan di Sabah

KOTA KINABALU – Tiga lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Sabah pada Ahad dengan dua melibatkan penularan di tempat kerja dan satu berpunca daripada aktiviti menghadiri majlis pengebumian.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, tiga kluster itu melibatkan Kluster Eioz Selatan di Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang; Kluster Jalan Agaseh di Lahad Datu; dan Kluster Kampung Kebayau di Kota Belud dan Keningau.

Beliau berkata, Kluster Eioz Selatan merupakan kluster tempat kerja melibatkan 10 kes positif Covid-19 yang dicetuskan daripada jangkitan kes indeks seorang lelaki pekerja am berusia 23 tahun disahkan positif wabak berkenaan pada 3 Jun lepas.

“Kes positif terdiri daripada pekerja sebuah gudang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, malah telah merebak kepada generasi kedua iaitu ahli keluarga. Tujuh kes dikesan di Kota Kinabalu, dua kes di Tuaran dan satu di Penampang,” katanya dalam kenyataan di sini malam Ahad.

Beliau berkata, satu lagi kluster tempat kerja ialah Kluster Jalan Agaseh yang mencatatkan 15 kes dicetuskan kes indeks seorang wanita berusia 64 tahun di Klinik Kesihatan daerah itu dikesan positif pada 9 Jun lepas.

“Kluster ini melibatkan penularan jangkitan di syarikat kejuruteraan elektrik dan punca jangkitan masih disiasat. Kesemua kes positif kluster ini dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah) Lahad Datu,” katanya.

Masidi berkata, Kluster Kampung Kebayau yang melibatkan 27 kes positif Covid-19 di Kota Belud dan Keningau yang dicetuskan kes indeks seorang lelaki berusia 26 tahun disahkan positif 3 Jun lepas berkait rapat dengan majlis pengebumian di Kampung Kebayau pada 26 Mei lalu.

“Kes positif dalam kluster ini meliputi 23 kes di Kota Belud sementara empat kes di Keningau. Seramai 112 individu dalam kalangan ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual disaring dengan 27 didapati positif, lapan masih menunggu keputusan dan selebihnya negatif,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Sabah merekodkan 335 kes baharu Covid-19 pada Ahad menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 66,043 kes, manakala pesakit sembuh pula seramai 329 orang menjadikan jumlah keseluruhan pulih daripada wabak itu 62,846 orang. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here