Home Koronavirus Covid-19: Tiga kluster aktif di Labuan

Covid-19: Tiga kluster aktif di Labuan

0
Covid-19: Tiga kluster aktif di Labuan

LABUAN – Dua daripada tiga kluster aktif Covid-19 di Labuan didapati merebak lebih cepat dan menyebabkan lebih banyak jangkitan, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata, dua kluster itu ialah kluster Bukit Kuda dan Jalan Jati yang masing-masing dikesan pada 18 dan 21 November lepas.

Dr Ismuni berkata, kluster Bukit Kuda muncul berikutan sebuah keluarga di sini mengadakan majlis pertunangan yang dihadiri saudara-mara dari tanah besar.

“Kluster itu merebak dengan meluas kepada mereka yang hadir ke majlis itu… dan kami masih mengesan kontak rapat untuk saringan, usaha juga dibuat untuk memutuskan rantaian jangkitan,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

Beliau berkata, kluster Jalan Jati pula melibatkan sebuah bistro di pusat bandar Jalan Jati dengan beberapa pelanggan dipercayai menyebabkan penularan jangkitan.

“Kes bagi dua kluster ini (Bukit Kuda dan Jalan Jati) telah meningkat kepada generasi ketiga, kami sedang melakukan analisis ke atas setiap kes,” katanya.

Dr Ismuni berkata, satu lagi kluster ialah Merinding 2 yang dikesan pada 28 Oktober lepas melibatkan beberapa pelajar Kolej Matrikulasi Labuan yang mendaftar bagi semester baharu.

“Jangkitan merebak kepada pelajar dan kakitangan di hostel, tetapi kluster ini adalah terkawal,” katanya.

Kes kumulatif Covid-19 di Labuan kini adalah 10,378 dengan 140 kes aktif.

Pulau bebas cukai ini merekodkan 150 kematian akibat wabak itu setakat ini. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here