BANGKOK – Thailand melaporkan 15 kematian baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas iaitu angka kematian harian tertinggi ketika kerajaan meningkatkan langkah-langkah untuk mengurangkan jumlah jangkitan.
Dalam tempoh yang sama, Thailand mencatatkan 2,179 kes Covid-19 baharu menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan 59,687 dan 163 kematian.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin mengatakan kematian baharu melibatkan sembilan lelaki dan enam wanita, semuanya rakyat tempatan berusia antara 24 dan 88 tahun.
“Kadar kematian pandemik ketika ini adalah 0.22 peratus. Lebih 55 peratus kematian adalah mereka yang berumur 60 tahun dan lebih tua, ” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini pada Selasa.
Tambahnya, daripada 2,179 kes Covid-19 baharu, 2,174 adalah jangkitan tempatan dan lima kes import.
“Bangkok melaporkan 993 kes baharu diikuti Nontbaburi (149), Pathum Thani (93) Samut Prakan (93) Chonburi (80) dan Surat Thani (62).
Sementara itu, Taweesin berkata, Kementerian Kesihatan Awam mengusulkan agar semua pelancong antarabangsa yang memasuki negara harus mendapatkan Sijil Masuk (CoE) selepas 1 Mei dan menjalani kuarantin 14 hari berbanding 10 hari ketika ini.
“Usul itu akan dibentangkan dalam pertemuan CCSA pada Khamis,” katanya.
Taweesin mengatakan Bangkok dan 53 wilayah termasuk Chiang Mai dan Phuket telah mewajibkan pemakaian pelitup muka wajib di semua tempat awam dan mereka yang melanggar perintah itu boleh dikenakan denda hingga 20,000 baht di bawah Akta Penyakit Berjangkit 2015.
Sementara itu, timbalan jurucakap Kementerian Luar, Natapanu Nopakun mengatakan kerajaan akan mengguna pakai sistem arahan tunggal untuk meningkatkan kecekapan pelaksanaan vaksinasi nasional.
Beliau berkata, rancangan vaksinasi proaktif dengan bantuan sektor swasta akan dijalankan untuk meringankan beban sistem kesihatan awam.
“Kerajaan akan sedaya upaya mendapatkan lebih banyak dos (vaksin) untuk menyokong pelaksanaan (vaksinasi), dengan menyasarkan membeli 10 hingga 15 juta dos sebulan daripada beberapa pengeluar.
“Kerajaan mensasarkan 30 juta orang mendapat vaksin dalam tempoh tiga bulan akan datang dan 50 juta pada akhir tahun ini,” katanya.
Setakat ini, sejumlah 1.01 juta orang telah mendapat dos pertama mereka sementara 214,644 orang selesai menerima suntikan dos kedua. – Bernama