Home Koronavirus AstraZeneca: Kerajaan ambil kira kegusaran rakyat

AstraZeneca: Kerajaan ambil kira kegusaran rakyat

0
AstraZeneca: Kerajaan ambil kira kegusaran rakyat

KANGAR – Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai penggunaan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca.

Beliau berkata, perbincangan lanjut perlu selepas mengambil kira kegusaran rakyat mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin AstraZeneca yang akan digunakan dalam program imunisasi.

“Saya akan umumkan sesuatu esok dan petang ini saya akan adakan perbincangan dengan Dr Adham setelah mengambil kira kegusaran rakyat yang bercakap tentangnya di media sosial semalam dan ada antara mereka telah mula takut untuk menerima vaksin,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Wawasan 2020 dekat sini pada Selasa.

Beliau berkata, walaupun terdapat data, sains dan pelbagai lagi yang membuktikan vaksin AstraZeneca selamat diguna pakai, namun kebimbangan rakyat terhadap vaksin tersebut turut diambil kira.

“Saya perlu mengambil kira pandangan rakyat yang gusar, kita tidak mahu vaksin ini menggugat program imunisasi,” katanya.

Pada Isnin, Dr Adham berkata, vaksin AstraZeneca adalah selamat dan akan digunakan dalam proses vaksinasi golongan berusia 60 tahun ke atas dalam Fasa Dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang telah bermula pada 19 April lepas untuk golongan warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here