Home Koronavirus Covid-19: Sabah catat empat kluster baharu

Covid-19: Sabah catat empat kluster baharu

0
Covid-19: Sabah catat empat kluster baharu

KOTA KINABALU – Sabah mencatatkan empat lagi kluster baharu pada Khamis iaitu tiga kluster pendidikan dan satu kluster di tempat kerja, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata kluster pendidikan iaitu Kluster Jalan Getah di Kunak melibatkan pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kunak yang tinggal di asrama sekolah berkenaan.

Katanya kes indeks didapati positif selepas menjalani ujian kerana bergejala dan saringan terhadap kontak rapat mendapati 21 orang lagi positif termasuk tiga kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif 22 kes.

“Kluster Madai 2 juga di Kunak melibatkan pelajar perempuan SMK Madai berusia 13 tahun telah menjalani saringan kerana bergejala dan disahkan positif. Jumlah kumulatif kes kluster ini 40 kes termasuk 10 kes baharu hari ini,” katanya menerusi kenyataan di sini pada Khamis.

Jurucakap Covid-19 negeri itu berkata, Kluster Jalan Gudon pula melibatkan pelajar SMK Bandaraya Kota Kinabalu iaitu pelajar lelaki 17 tahun didapati positif setelah menjalani saringan apabila bergejala dan jumlah kumulatif kes setakat ini ialah 22 kes termasuk lima kes baharu pada Khamis.

Masidi berkata kluster di tempat kerja iaitu Kluster Sutera 2 di Kota Kinabalu berpunca daripada seorang kakitangan pengurusan di tapak pembinaan didapati positif setelah menjalani ujian saringan di sebuah klinik swasta kerana bergejala.

Katanya kes indeks berusia 33 tahun dan saringan ke atas kontak rapat mendapati 57 orang lagi pekerja dikesan positif.

“Semua pesakit dalam kluster berkenaan berada dalam kategori ringan dan telah diasingkan untuk diberi rawatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 2,969 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 262,901 kes. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here