Home Koronavirus Covid-19: RM940 juta disalurkan kepada jabatan kesihatan negeri

Covid-19: RM940 juta disalurkan kepada jabatan kesihatan negeri

0
Covid-19: RM940 juta disalurkan kepada jabatan kesihatan negeri

PUTRAJAYA – Sejumlah RM940 juta telah disalurkan kepada semua jabatan kesihatan negeri bagi tujuan pelaksanaan perolehan untuk mengurus pandemik Covid-19.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata, antara pelaksanaan terkini adalah perolehan peralatan perubatan dan bukan perubatan, kerja menaik taraf taraf hospital susulan penukaran status kepada Hospital Covid-19, seperti Hospital Selayang yang bertukar status pada 21 Julai lepas.

“Alhamdulillah semua jabatan ini melaksanakan urusan perolehan dengan penuh integriti dan transparent demi menjaga kepentingan pesakit ” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini pada Jumaat.

Selain itu, Mohd Shafiq berkata, perolehan juga digunakan untuk mendirikan hospital medan di Hospital Selayang serta Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan akan dikembangkan ke Melaka.

Beliau berkata, sejumlah peruntukan juga diberi untuk meningkatkan keupayaan logistik seperti katil dan pakaian perlindungan diri (PPE) serta menangani isu bekalan oksigen.

Dari segi logistik, Mohd Shafiq berkata, ia termasuk kenderaan diubah suai kepada ambulans yang boleh memuatkan 20 pesakit untuk dibawa ke fasiliti kesihatan untuk rawatan segera susulan kadar kematian sebelum tiba ke hospital (BID) yang tinggi.

Beliau berkata, mobilisasi penugasan sumber manusia juga dilakukan dengan mengisi jawatan tetap di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan permohonan penambahan jawatan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Katanya, hampir 9,000 jawatan diisi secara kontrak untuk ditempatkan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor serta penugasan dari fasiliti lain ke Lembah Klang melibatkan lebih 2,490 orang termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Selain itu, beliau berkata, 170 pegawai pergigian dan 85 pegawai farmasi ditempatkan sementara untuk membantu di pusat saringan dan pusat pemberian vaksin.

Mohd Shafiq berkata, KKM juga akan berbincang dengan JPA untuk menambah petugas bukan kesihatan untuk membantu aktiviti pengesanan kontak.

Beliau berkata, KKM juga menjaga kebajikan petugas barisan hadapan dengan pemberian elaun khas Covid-19 melibatkan hampir RM760 juta disalurkan kepada 1.5 juta orang sehingga 10 Julai lalu.

Selain elaun, beliau berkata, petugas barisan hadapan juga diberikan pendedahan mengenai isu kesihatan mental dan penjagaan kesihatan mental kendiri dalam memastikan tahap kesihatan mental berada dalam keadaan yang baik. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here