Home Koronavirus Covid-19: Penguatkuasaan perlu ditingkatkan di kawasan catat kes tinggi

Covid-19: Penguatkuasaan perlu ditingkatkan di kawasan catat kes tinggi

0
Covid-19: Penguatkuasaan perlu ditingkatkan di kawasan catat kes tinggi

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan perlu dipertingkatkan terhadap mereka yang melanggar peraturan bagi mengekang Covid-19 di kawasan mempunyai kes tinggi.

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkata, bilangan kes aktif dengan kadar kebolehjangkitan mencecah lebih 20,000 pada ketika ini adalah jumlah sangat membimbangkan.

Beliau berkata, satu pendekatan baharu lebih serius dalam implimentasi diperlukan buat masa kini malah perlu dipercepatkan tanpa melengahkan masa.

“Mungkin kita sedang mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) atau langkah-langkah penjagaan yang tidak efektif,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Sabtu, jangkitan Covid-19 mencatatkan sebanyak 20, 670 kes berbanding sehari sebelum itu iaitu 21, 468 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, Selangor masih menduduki carta teratas negeri paling tinggi mencatatkan kes iaitu 6,606 kes diikuti Kuala Lumpur (2, 028 kes) dan Kedah (1,796 kes).

Sehubungan itu, Prabakaran yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mengambil tindakan lebih drastik untuk mencari jalan bagi mengurangkan jangkitan.

Beliau berkata, MKN dan semua agensi di bawahnya gagal membuat pemantauan di kawasan mempunyai kes tinggi.

“Terutamanya di kawasan perumahan awam (Program Perumahan Rakyat), di kawasan padat dengan penduduk tidak ada rondaan dan tiada pemantauan oleh mana-mana agensi.

“Mereka yang mempunyai jangkitan bebas bergerak ke sana ke sini.

“Ketua Pengarah Kesihatan berkata, kita boleh membuat laporan polis sekiranya ada pelanggaran SOP. Berapa ramai yang akan pergi ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan tersebut,” soalnya.

Beliau berkata, jangkitan Covid-19 menjadi semakin parah sejak kebelakangan ini, jadi satu langkah untuk mengekang penularannya diperlukan.

Menurutnya, rondaan atau tindakan daripada agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus digiatkan.

“Rakyat akan lebih berdisiplin sekiranya melihat rondaan-rondaan sebegini. Pihak polis harus meningkatkan rondaan dua kali ganda dari prosedur rondaan yang sedia ada,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here