Home Koronavirus Covid-19: Penggunaan katil ICU capai 90 peratus

Covid-19: Penggunaan katil ICU capai 90 peratus

0
Covid-19: Penggunaan katil ICU capai 90 peratus

KUALA LUMPUR- Kadar penggunaan katil rawatan kritikal atau ICU Covid-19 di Lembah Klang secara keseluruhannya mencapai 90 peratus pada Ahad.

Jelas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, enam buah hospital yang mempunyai katil ICU khusus bagi merawat pesakit Covid-19 dilaporkan melebihi ambang amaran iaitu 70 peratus penggunaan.

Jelas beliau, ia melibatkan Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, di mana ada di antaranya telah pun menghampiri 100 peratus.

Dalam pada itu, sebanyak 80 katil rawatan kritikal diwujudkan secara ‘repurposed’ di hospital sekitar Lembah Klang bagi memenuhi keperluan peningkatan jumlah pesakit Covid-19 yang kritikal.

Beliau berkata, jumlah katil itu juga akan ditambah mengikut keperluan di wad biasa yang ditukar fungsi kepada katil kritikal.

Sharing our Critically ill Covid-19 patients in Sungai Buloh Hospital ICU. We are almost running out of beds. Please stay healthy and stay safe. pic.twitter.com/XbCFaf0JIy

— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) May 2, 2021

Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital Covid-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat.

KKM juga, jelasnya, membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun 2020 lagi bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak.

Tambah beliau, KKM akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal.

Ia termasuk penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung oleh kerajaan pada caj rawatan yang telah dipersetujui.

Beliau turut menyatakan kebimbangan sekiranya trend peningkatan kes Covid-19 ini berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap kritikal dan akan memberikan impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

Dr Hisham turut menyeru agar pematuhan kepada SOP dapat dilaksanakan sepenuhnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here