Home Koronavirus Covid-19: Lebih 26,000 kes dikesan untuk tempoh enam hari

Covid-19: Lebih 26,000 kes dikesan untuk tempoh enam hari

0
Covid-19: Lebih 26,000 kes dikesan untuk tempoh enam hari

KUALA LUMPUR – Jumlah kes harian baharu Covid-19 dalam negara untuk tempoh enam hari lepas (16 Julai -21 Julai 2022) meningkat kepada 26,237 kes dengan kes mencecah 5,000 pada 16 Julai dan 20 Julai.

Ini berbanding 18,857 kes yang direkod untuk tempoh yang sama 9 Julai hingga 14 Julai 2022.

Semalam (21 Julai), sebanyak 4,587 kes lagi dilaporkan, menjadikan kes aktif Covid-19 meningkat kepada 47,409 dengan 96.7 peratus (45,856 kes) menjalani kuarantin di rumah. Kes kumulatif Covid-19 Malaysia kini sebanyak 4,640,235.

Menurut data CovidNow Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), WP Kuala Lumpur mencatat kes harian tertinggi semalam sebanyak 1,408 kes, diikuti Selangor 1,399 kes,

Tujuh (7) buah negeri mencatat kes tiga angka iaitu Perak (360), Negeri Sembilan (285), Sabah (267), Pulau Pinang (237), Johor 128 (+2), Kedah (109) dan Melaka (100).

Negeri lain mencatat kes dua angka iaitu WP Putrajaya (65), Sarawak (64), Kelantan (57), Pahang (41), Terengganu (35), WP Labuan (17) dan Perlis (13).

Sepanjang Julai 2022 setakat ini, terdapat tiga (3) kali kes harian baharu Covid-19 melepasi angka 5,000 iaitu pada 15 Julai (5,230), 16 Julai (5,047) dan 20 Julai (5,685).

Kali terakhir angka kes lima ribu dilaporkan ialah pada 23 April 2022 iaitu sebanyak 5,624 kes.

Berikut kes harian baharu Covid-19 sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama 16 Julai hingga 21 Julai 2022:-

16 Julai (5,047), 1 7 Julai (3,936), 18 Julai (3,080), 1 9 Julai (3,902), 20 Julai (5,685) dan 21 Julai (4,587).

Rekod kes harian baharu Covid-19 sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama 9 Julai hingga 15 Julai 2022:-

9 Julai (2,799), 10 Julai (3,264), 11 Julai (2,417), 12 Julai (2,345), 13 Julai (3,934), 14 Julai (4,098) dan 15 Julai (5,230).

Singapura masih mencatat kes harian baharu Covid-19 yang tinggi sepanjang minggu ini sehingga mencecah lima angka, berdasarkan data Worldometer seperti berikut:-

16 Julai (9,153), 1 7 Julai (6,947), 18 Julai (6,227), 19 Julai (13,794), 20 Julai (10,295) dan 21 Julai (9,749).

Sementara itu, sebanyak 2,652 kes sembuh Covid-19 dilaporkan sehingga pukul 11:59mlm 21 Julai 2022, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 4,556,938 kes.

Sebanyak 10 lagi kes kematian pesakit Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kes kematian sejak pandemik COVID-19 melanda negara setakat ini sebanyak 35,888.

Sepanjang tempoh Rangkuman Bernama ini, KKM melaporkan tiga (3) kluster baharu iaitu dua (2) di Selangor (19 Julai) dan satu (1) di WP Kuala Lumpur (21 Julai).

Secara keseluruhannya, sebanyak 7,029 kluster dikesan sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini lebih dua tahun lalu. Setakat 21 Julai, 14 kluster yang masih aktif.

Dengan sebanyak 4,640,235 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 26 daripada 228 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik COVID-19. Di hadapan Malaysia ialah Austria (4,658,125) dan Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) sebanyak 4,772,290 kes.

Dalam kalangan 228 buah negara, mengikut data terkini Worldometer, Jepun mencatat kes harian baharu tertinggi sebanyak 135,239 diikuti oleh Amerika Syarikat 100,711 kes.

Amerika Syarikat turut mencatat angka kematian akibat Covid-19 tertinggi dengan 1,051,235 kes.

Sementara itu, di samping sub-varian Omicron BA.5 yang dilaporkan mudah merebak, satu lagi sub varian Omicron yang mencetuskan kebimbangan ialah BA.2.75 yang digelar ‘Centaurus’ dan setakat ini dikesan di 10 buah negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia. Jerman dan Kanada.

‘Centaurus’ mula dikesan di India pada awal Mei 2022. Pusat Eropah untuk Pencegahan dan Kawalan Penyakit (ECDC) menggolongkan ‘Centaurus’ sebagai “varian di bawah pengawalan” sementara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga dilaporkan sedang memantau varian baharu itu.

Data CovidNow KKM setakat pukul 11:59 mlm 21 Julai 2022 menunjukkan sebanyak 45,856 kes (96.7 peratus) dikuarantin di rumah daripada 47,409 kes aktif yang dilaporkan.

Sebanyak 39 kes (0.1 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC); 1,451 kes (3.1 peratus) di hospital; 31 kes (0.1 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 32 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here