Home Koronavirus Covid-19: Lebih 21,000 kes baharu dikesan minggu ini

Covid-19: Lebih 21,000 kes baharu dikesan minggu ini

0
Covid-19: Lebih 21,000 kes baharu dikesan minggu ini

KUALA LUMPUR – Jumlah kes harian baharu Covid-19 untuk tempoh seminggu (2 Julai – 8 Julai 2022) meningkat kepada 21,083 dengan angka tertinggi 4,020 dilaporkan pada 7 Julai.

Ini berbanding jumlah kes sebanyak 16,469 kes untuk tempoh Rangkuman Mingguan pada minggu sebelumnya (25 Jun – 1 Julai 2022) dengan kali terakhir angka kes mencecah 4,000 adalah pada 24 April iaitu sebanyak 4,006 kes.

Pada Jumaat, sebanyak 3,589 lagi kes dilaporkan menjadikan kes aktif meningkat kepada 35,198 sementara kes kumulatif sebanyak 4,589,911.

Daripada 3,589 kes pada Jumaat, Selangor mencatat kes tertinggi 1,261 kes diikuti WP Kuala Lumpur 1,083 kes.

Negeri mencatat kes tiga angka ialah Perak (275), Negeri Sembilan (198), Sabah (176) dan Pulau Pinang (121), sementara kes dua angka, Melaka (97), WP Putrajaya (74), Johor (69), Sarawak (59), Kedah (55), Pahang (46), Perlis (26), Kelantan (21), WP Labuan (17) dan Terengganu (11).

Peningkatan kes Covid-19 dijangka terus berlaku berikutan kemunculan varian dominan Omicron BA.5 di negara ini yang menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar setakat ini dikesan melibatkan lima kes.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan minggu lalu peningkatan kes global Covid-19, kebanyakannya berpunca daripada sub-varian Omicron BA.4 dan BA.5 yang semakin menjadi dominan, sejak mula dikesan merebak pada awal tahun 2022 di Afrika Selatan.

Sementara itu, sebanyak 2,224 kes sembuh Covid-19 dilaporkan sehingga jaml 11:59 malam pada 8 Julai 2022 menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 4,518,912 kes.

Sepanjang tempoh rangkuman ini, KKM mengesan lima (5) kluster baharu iaitu tiga (3) pada 2 Julai (1 kumpulan berisiko tinggi, 1 pendidikan dan 1 tempat kerja); satu (1) kluster kumpulan berisiko tinggi pada 5 Julai dan satu (1) kluster pusat tahanan pada 8 Julai.

Secara keseluruhannya, KKM setakat ini mengesan sebanyak 7,025 kluster sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini lebih dua tahun lalu. Setakat 8 Julai, 12 kluster yang masih aktif.

Dengan sebanyak 4,589,911 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 25 daripada 228 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) dengan 4,763,360 kes dan Ukraine 5,018,019 kes.

Dalam kalangan 228 buah negara, mengikut data terkini Worldometer, Perancis melaporkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 140,997 diikuti Amerika Syarikat 107,879 dan Itali 100,690.

Amerika Syarikat turut mencatat angka kematian akibat Covid-19 tertinggi dengan 1,045,740 kes.

Dalam pada itu, data CovidNow KKM setakat jam 11:59 malam pada 8 Julai 2022 menunjukkan sebanyak 33,888 kes (96.3 peratus) dikuarantin di rumah daripada 35,198 kes aktif yang dilaporkan.

Sebanyak 27 kes (0.1 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 1,241 kes (3.5 peratus) di hospital; 17 kes (0.0 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 25 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here