Home Koronavirus Covid-19: Labuan kembali jadi zon merah

Covid-19: Labuan kembali jadi zon merah

0
Covid-19: Labuan kembali jadi zon merah

LABUAN – Labuan merekodkan 159 kes Covid-19 dengan dua kluster aktif, sekali gus menukar status pulau bebas cukai ini kepada zon merah berkuat kuasa pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, dua kluster aktif itu adalah Kluster Jalan Jati melibatkan sebuah bistro dan Kluster Bukit Kuda yang membabitkan sekumpulan komuniti tempatan.

“Kluster Jalan Jati dicetuskan oleh sekumpulan pelanggan premis makanan dan minuman (F&B) di Jalan Jati di pusat bandar, yang dahulunya sebuah premis hiburan sebelum dijadikan bistro.

“Kluster tersebut muncul pada 21 November dan kluster ini menular dengan pantas dan menyebabkan lebih banyak jangkitan,” katanya pada Jumaat.

Dr Ismuni berkata, kanak-kanak berumur satu hingga sembilan tahun, antara individu yang dijangkiti menerusi kluster tersebut.

“Sekurang-kurangnya 18 kes telah disahkan menerusi ujian reaksi berantai polimerase (PCR) dalam kluster tersebut, kita telah menganalisis kadar jangkitan kluster ini yang didapati tinggi,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, Kluster Bukit Kuda mula dikesan pada 19 November selepas satu keluarga mengadakan majlis pertunangan.

“Kluster berkenaan masih aktif dengan pertambahan bilangan kes positif,” katanya.

Dr Ismuni berkata, satu subzon merekodkan 10 kes positif, zon dua (22), zon tiga (19), zon empat (32) dan sub zon lima dengan 29 kes.

Beliau berkata, dua pesakit (seorang daripadanya kanak-kanak) berada dalam kategori empat dan lima. Kedua-dua pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Labuan sedang berhadapan dengan turun naik kes positif yang kebanyakan disumbangkan oleh pengembara dan aktiviti perhimpunan sosial,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here