Home Koronavirus Covid-19: Kluster kapal TLDM dikesan libatkan 93 kes

Covid-19: Kluster kapal TLDM dikesan libatkan 93 kes

0
Covid-19: Kluster kapal TLDM dikesan libatkan 93 kes

KOTA KINABALU – Satu kluster baharu Covid-19 dikesan dalam kalangan kru kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sabah membabitkan 93 orang disahkan positif sehingga hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata kluster Lautan Biru Pantai itu, merupakan kluster industri pertahanan melibatkan jangkitan di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau, dengan kes indeks adalah seorang kru lelaki yang berlepas dari Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada 27 Oktober lepas.

Beliau berkata, ketika saringan Covid-19 sebelum berlepas ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar di sini, kes indeks serta semua kru kapal didapati negatif.

“Pada 1 November kapal tersebut tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan selepas menjalani operasi selama seminggu, kapal kemudian berlayar ke Sandakan dan Tawau, sebelum kembali semula ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 18 November.

“Semasa persinggahan, kes indeks dikesan positif Covid-19 menerusi saringan bergejala di Sandakan, manakala satu kes lagi dikesan di Tawau melalui saringan kendiri dan telah menjalani kuarantin di daerah masing-masing,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Masidi berkata, tiga lagi kes positif dikesan setelah kapal tersebut berlabuh di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, dan saringan bergejala yang dijalankan terhadap 134 kru kapal tersebut mengesan jumlah kumulatif kes kepada 93 orang sehingga hari ini.

Sementara itu, sebanyak 485 kes baharu positif Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 229,497 kes dengan sembilan kematian dilaporkan, manakala 551 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh 218,623 orang dan 1,563 pesakit sedang menerima rawatan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here