Home Koronavirus Covid-19: 9,673 kes baharu, 14,267 sembuh

Covid-19: 9,673 kes baharu, 14,267 sembuh

0
Covid-19: 9,673 kes baharu, 14,267 sembuh

KUALA LUMPUR – Sebanyak 9,673 kes baharu Covid-19 dicatatkan pada Jumaat dengan 99.5 peratus daripadanya adalah kategori satu dan dua, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya daripada jumlah itu, sebanyak 48 kes atau 0.5 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima dengan 17 kes tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi, 17 kes lagi telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 14 kes telah menerima dos penggalak.

Menerusi kenyataan, beliau berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan kumulatif kes Covid-19 dalam negara kini adalah 4,372,697, selain lapan kluster baharu dilaporkan semalam menjadikan jumlah kluster aktif adalah 116 kluster.

Selain itu, sebanyak 370 kes dimasukkan ke hospital dengan 224 adalah kategori satu dan dua manakala 146 kes adalah kategori tiga, empat dan lima.

Jumlah kes sembuh pula adalah 14,267 menjadikan kumulatif kes sembuh dalam negara adalah 4,224,125.

Sementara itu bagi penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, tiada negeri mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) setakat Jumaat.

Bagi katil bukan ICU, hanya Putrajaya menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu sebanyak 51 peratus, manakala pengisian katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) pula merekodkan Perak mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu 87 peratus.

Dr Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 (nilai Rt) 0.82 dengan Selangor kekal merekodkan kadar tertinggi iaitu 0.89. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here