SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 4,684 kes baharu Covid-19 pada Sabtu dengan lima daripadanya merupakan kes import.
Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes pandemik itu di negara ini meningkat kepada 4,705,824.
Menurut portal CovidNow, 11 kematian akibat Covid-19 turut dilaporkan termasuk satu kes melibatkan kes di luar fasiliti hospital, 'brought-in-dead' (BID).
Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak itu di Malaysia bertambah kepada 36,020.
Sementara itu, kes aktif Covid-19 pula mencatatkan sebanyak 46,904 kes, dengan 45,264 atau 96.5 peratus daripadanya merupakan individu dikuarantin di rumah.
Seramai 28 pesakit pula berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), manakala 1,556 pesakit Covid-19 ditempatkan di hospital.
Terdapat 56 kes ditempatkan di wad unit rawatan rapi (ICU) dengan 35 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.