Home Koronavirus Brunei sumbang alat bantuan pernafasan, kit ujian PCR

Brunei sumbang alat bantuan pernafasan, kit ujian PCR

0
Brunei sumbang alat bantuan pernafasan, kit ujian PCR

KUALA LUMPUR – Brunei Darussalam menyumbang alat bantuan pernafasan dan kit ujian Polimerase Chain Reaction (PCR) Covid-19 bernilai RM1.7 juta kepada Malaysia, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin berkata dalam perbualan telefon dengan Menteri Luar II Brunei, Datuk Seri Setia Awang Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof pada Rabu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan kerajaan Brunei atas sumbangan itu.

Katanya, alat bantuan pernafasan dan kit ujian PCR itu akan ditempatkan di hospital kerajaan di Labuan, Sabah dan Sarawak bermula Julai 2021.

“Malaysia amat menghargai sokongan penuh dan berterusan Brunei dalam menangani penularan pandemik. Melalui sumbangan ini, saya percaya hubungan sedia ada akan diperkukuh lagi demi kepentingan bersama rakyat kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujar Hishammuddin, kedua-dua menteri juga mengulangi komitmen Malaysia dan Brunei untuk terus bekerjasama dan saling membantu terutama dalam situasi semasa pandemik.

Sejak bermulanya wabak, beliau berkata, Brunei antara negara pertama yang bekerjasama dengan Malaysia untuk mendepani cabaran serta impak Covid-19.

Hishammuddin berkata, sumbangan itu menunjukkan hubungan diplomatik yang erat dan istimewa yang terjalin selama 37 tahun antara kedua-dua negara.

“Ini juga menunjukkan komitmen tinggi kedua-dua pihak sebagai anggota ASEAN dalam menangani krisis Covid-19,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here