BEIJING – Belia di seluruh dunia patut dipuji kerana menunjukkan kekuatan luar biasa mereka dalam mengharungi badai pandemik Covid-19, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Beliau berkata, mereka telah terbukti berdaya tahan, inovatif dan bijak dalam menghadapi krisis global yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Mereka telah mengambil bahagian dan memperjuangkan pelbagai tujuan sosial daripada mengedar makanan atau peralatan perlindungan diri kepada petugas barisan hadapan, membantu kumpulan kurang bernasib baik dan menangani perubahan iklim.
“Ini semua adalah usaha yang menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan,” katanya dalam rakaman ucapan beliau pada Forum Pembangunan Belia Sedunia sempena Hari Belia Antarabangsa 2022, dianjurkan oleh Persekutuan Belia Seluruh China (ACYF).
Majlis perasmian diadakan di Beijing pada Khamis.
Ahmad Faizal berkata, walaupun dalam masa sukar, ramai belia telah bangkit dan memainkan peranan dalam peningkatan masyarakat sama ada sebagai petugas penjagaan kesihatan, aktivis sosial dan alam sekitar, sukarelawan belia, usahawan atau pendidik.
Beliau berkata, usahasama untuk menganjurkan forum berkenaan adalah bukti komitmen bersama dalam memajukan pemerkasaan belia melalui kerjasama rapat dengan masyarakat, badan pemikir dan organisasi belia.
Forum secara maya itu adalah anjuran bersama ACYF dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Forum Ekonomi Dunia.
Presiden China Xi Jinping yang turut menghantar surat tahniah kepada Forum Pembangunan Belia Dunia, menyeru belia untuk mempromosikan Inisiatif Pembangunan Global dengan tindakan konkrit dan memudahkan pelaksanaan Agenda PBB 2030 untuk Pembangunan Mampan.
Bertemakan ‘Untuk Masa Depan Bersama: Menggalakkan Pembangunan Mampan Bersama Belia Dan Untuk Belia’, forum berkenaan berlangsung pada 21 hingga 23 Julai dengan penyertaan hampir 2,000 wakil belia dari 100 negara menghadiri persidangan itu, akan membincangkan isu pembangunan global dan menyokong tindakan untuk pembangunan belia. – Bernama