Home Koronavirus Bekalan vaksin di Kelantan cukup

Bekalan vaksin di Kelantan cukup

Bekalan vaksin di Kelantan cukup

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesahkan bekalan vaksin untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini mencukupi.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima 50,000 dos vaksin dalam tempoh seminggu seperti yang dijadualkan bagi memastikan imuniti kelompok terus dicapai mengikut perancangan.

“Dari segi bekalan, kita masih dapat bertahan dengan jumlah suntikan setiap hari adalah 10,000 hingga 12,000 individu,” katanya ketika ditemui semasa mengiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan melakukan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach Dewan Perniagaan Cina di sini pada Ahad.

Menurutnya, setakat ini JKNK sudah menggunakan 97 peratus dos vaksin yang diterima untuk PICK dengan mengagihkan bekalan tersebut kepada PPV awam atau outreach.

Katanya, sehingga Sabtu seramai 625,000 penduduk di Kelantan berdaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin dengan, 206,216 daripadanya telah menerima dos pertama manakala 111,916 individu sudah menerima dos kedua.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata, rakyat Kelantan diingatkan supaya terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) meskipun jangkitan Covid-19 di negeri ini mula menunjukkan tren menurun.

“Penurunan kes ketika ini bukanlah ‘tiket’ kepada orang ramai untuk terus alpa dalam aspek pematuhan SOP.

“Saya menyeru kepada orang ramai untuk terus patuh kepada SOP bagi memastikan rantaian pandemik ini berjaya diputuskan dengan sebaik mungkin,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here