Pakar berpendapat langkah pelaksanaan ujian saringan kit ujian pantas Antigen Covid-19 lebih praktikal berbanding pemberian dos tambahan vaksin kepada setiap individu. – Foto BernamaPakar kesihatan awam berpendapat rakyat Malaysia yang pernah dijangkiti Covid-19 berisiko mendapat jangkitan subvarian BF.7. – Foto Bernama
SHAH ALAM – Pakar kesihatan awam berpendapat rakyat Malaysia yang pernah dijangkiti Covid-19 berisiko mendapat jangkitan subvarian BF.7 kerana kemungkinan besar belum mempunyai imuniti.
Pensyarah Perubatan Kanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Rosliza Abd Manaf berkata, keberkesanan vaksin Covid-19 akan menurun selepas enam bulan seseorang itu menerima dos terakhir atau vaksinasi ke-3 (booster).
“Subvarian BF.7 adalah subvarian yang baharu.
Sebelum melanda China, ia telah mula menjangkiti manusia di Amerika Syarikat dan Eropah.
“Jadi, individu yang pernah kena sebelum ini masih berisiko mendapat jangkitan kerana berkemungkinan besar belum lagi mempunyai imuniti terhadap subvarian ini,” kata beliau kepada Sinar Harian.
Varian Covid-19 terbaharu subvarian Omicron yang dinamakan BF.7 dipercayai memacu lonjakan jangkitan di China.
**media[2043402]**
BF.7 adalah singkatan untuk BA.5.2.1.7 yang berasal daripada varian Omicron BA.5 dan pertama kali dikesan sedunia pada Julai 2022.
Dalam pada itu, Dr Rosliza berpandangan, langkah pelaksanaan ujian saringan kit ujian pantas (RTK) Antigen Covid-19 adalah lebih praktikal berbanding pemberian dos tambahan vaksin kepada setiap individu.
“Tidak kira apa varian sekali pun, ia tetap akan mendatangkan mudarat kepada mana-mana negara jika kemasukan mereka tidak disaring.
“Oleh itu, dari sudut kesihatan awam, saya amat menyarankan agar kemasukan pelawat atau sesiapa saja dari China agar disaring dengan ujian RTK, seperti Kanada dan India selain hanya (pelancong) yang negatif saja dibenarkan masuk,” ujar beliau.