Home Koronavirus Anak syarikat Hong Seng peroleh kontrak bekal kit ujian PCR bernilai RM112.32 juta

Anak syarikat Hong Seng peroleh kontrak bekal kit ujian PCR bernilai RM112.32 juta

0
Anak syarikat Hong Seng peroleh kontrak bekal kit ujian PCR bernilai RM112.32 juta

KUALA LUMPUR – Anak syarikat tidak langsung Hong Seng Consolidated Bhd, Pantasniaga Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM112.32 juta daripada Kementerian Kesihatan untuk membekalkan kit ujian reaksi rantai polimerase (PCR) Covid-19.

Dalam kenyataan pada Khamis, Hong Seng berkata, Pantasniaga, anak syarikat 51 peratus milik HS Bio Sdn Bhd, yang juga anak syarikat milik penuh Hong Seng, akan membekalkan kit ujian PCR untuk Institut Penyelidikan Perubatan dan Makmal Kesihatan Awam di Kota Kinabalu, Sabah.

“Ini merupakan kontrak terbesar yang pernah diterima Pantasniaga setakat ini selepas memperoleh kontrak bernilai RM34.3 juta daripada Kementerian Kesihatan pada 3 Februari 2021.

“Kontrak itu akan bermula pada 26 Julai 2021 dan berakhir pada 25 Julai 2022,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan pada Khamis, Pengarah Eksekutif Hong Seng, Christopher Chan berkata, kontrak terkini yang diperoleh itu merupakan satu lagi bukti komitmen kukuh kumpulan yang membolehkan ujian Covid-19 yang selamat dan berkesan di Malaysia.

“Sebelum ini, Pantasniaga telah menunjukkan prestasi yang baik dan memenuhi beberapa kontrak pembekalan untuk Kementerian Kesihatan dan agensi kerajaan lain dalam membekalkan kit ujian PCR di Semenanjung Malaysia dan Sabah bagi mengekang penularan virus Covid-19,” katanya.

Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada keseluruhan pendapatan akan datang dan pendapatan sesaham kumpulan, katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here