Home Koronavirus Amaran kepada majikan arah pekerja positif Covid-19 hadir bekerja

Amaran kepada majikan arah pekerja positif Covid-19 hadir bekerja

0
Amaran kepada majikan arah pekerja positif Covid-19 hadir bekerja

JASIN – Majikan di Melaka diberi amaran supaya tidak meminta pekerja mereka yang disahkan positif dan kontak rapat kes Covid-19 hadir ke tempat kerja, atau mereka akan berdepan dengan tindakan tegas.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia susulan beberapa aduan diterima pihaknya mengenai majikan di premis seperti kedai makan, pasar raya dan sektor perkilangan yang meminta pekerja datang untuk bekerja seperti biasa walaupun disahkan positif atau kontak rapat Covid-19.

“Mana-mana pekerja yang berdepan situasi ini diminta melaporkan perkara berkenaan kerana kita sedang giat mengekang penularan kluster di tempat kerja ini yang dilihat kian meningkat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke sebuah kilang di Merlimau di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kluster di tempat kerja merekodkan peningkatan sejak kebelakangan ini di Melaka dan berdasarkan data yang diterima peningkatan kontak rapat dari tempat kerja meningkat dari 4.8 peratus kepada hampir 10 peratus sejak tiga hari lepas.

Terdahulu dalam lawatan mengejut di kilang itu, Jabatan Kesihatan negeri mengarahkan penutupan selama tujuh hari serta-merta bermula hari ini selepas kes positif Covid-19 di kilang itu didapati meningkat dengan mendadak.

Dr Muhamad Akmal berkata, kilang diarah tutup selepas 21 pekerjanya didapati positif pada 5 Februari lepas, dan sekiranya kilang itu dapat menyediakan langkah-langkah keselamatan serta pencegahan jangkitan, maka keputusan pembukaan semula akan dibenarkan berdasarkan penilaian dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin.

“Jabatan Kesihatan negeri tidak sewenang-wenangnya memberi arahan menutup kilang tetapi ia berdasarkan penilaian di tempat kerja, namun sekiranya jika ia telah menular di bahagian lain dan tidak mampu dikawal, arahan menutup kilang terpaksa dikeluarkan,” katanya.- Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here