Home Koronavirus Kanak-kanak terima dos pertama vaksin di Sabah masih rendah

Kanak-kanak terima dos pertama vaksin di Sabah masih rendah

0
Kanak-kanak terima dos pertama vaksin di Sabah masih rendah

KOTA KINABALU – Sebanyak 9,686 atau 2.35 peratus daripada 411,400 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Sabah telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, angka itu sangat rendah mengambil kira risiko jangkitan yang tinggi serta jumlah kanak-kanak di bawah umur 11 tahun dijangkiti wabak berkenaan setiap hari.

Justeru, Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah menyarankan ibu bapa di negeri itu mengambil inisiatif memastikan anak-anak berumur lima hingga 11 tahun diberi vaksin demi melindungi mereka daripada jangkitan Covid-19.

“Hari ini, 272 pesakit baharu terdiri daripada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun yang sepatutnya sudah layak menerima vaksin,” katanya dalam kenyataan malam Isnin.

Sementara itu, Masidi berkata, sebanyak 4,035 kes baharu direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di Sabah meningkat kepada 278,295 kes, dengan lima kes kematian dilaporkan masing-masing satu di Sandakan, Beaufort, Kuala Penyu, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

“Kes jangkitan sporadik merekodkan peratusan paling tinggi iaitu 61.07 peratus daripada keseluruhan jumlah kes baharu hari ini,” katanya, sambil menambah masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) meskipun pelbagai gesaan dan saranan dilakukan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau berkata 893 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 245,615 orang; manakala 2,885 pesakit sedang menerima rawatan.- Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here