Home Koronavirus 78 polis, kakitangan awam PDRM Kelantan positif Covid-19

78 polis, kakitangan awam PDRM Kelantan positif Covid-19

0
78 polis, kakitangan awam PDRM Kelantan positif Covid-19

MACHANG – Sejumlah 78 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan termasuk pegawai dan kakitangan awam dijangkiti Covid-19 dalam tempoh bulan ini sehingga Rabu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, angka terkini yang direkodkan itu membabitkan tiga pegawai kanan, 32 pegawai rendah polis dan enam pegawai awam manakala 37 terdiri dalam kalangan ahli keluarga mereka.

“Jumlah mereka yang kuarantin di rumah atau hospital pula ialah seramai 28 orang.

“Mereka yang kuarantin adalah 13 pegawai rendah polis, dua pegawai awam manakala 14 orang dalam kalangan ahli keluarga mereka,” katanya ketika sidang akhbar di tepi Sungai Kelantan di Temangan di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Simulasi Banjir 2021 dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan dan Tenaga Nasional Berhad.

Menurut Shafien, mereka yang positif Covid-19 mendapat jangkitan pandemik itu ketika menjalankan tugasan di lapangan termasuk semasa proses membawa tahanan yang positif Covid-19 untuk dibawa ke mahkamah.

“Ada juga polis yang dijangkiti Covid-19 daripada keluarga yang datang menziarahi mereka di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, sejumlah 1,712 anggota dan pegawai polis Kontinjen Kelantan menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 dos sehingga Rabu dengan jumlah penerima tertinggi sebanyak 451 anggota serta pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan diikuti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas (249) dan IPD Kuala Krai (246).

“Program pemberian vaksin penggalak Covid-19 ini akan berterusan dan saya nasihatkan kepada warga PDRM Kelantan supaya segera mengambil suntikan ini sebaik sahaja tiba tempoh layak menerima suntikan ini. Setakat ini, tidak ada yang menolak untuk menerima suntikan dos penggalak Covid-19.

“Polis yang bertugas di lapangan dan berdepan dengan orang awam seperti di mahkamah juga digalakkan memakai pelitup muka jenis N95 atau dua lapis pelitup muka bagi mengelak jangkitan,” katanya.

Sementara itu, Shafien memberitahu, lebih 5,000 keanggotaan terdiri daripada 13 agensi bersiap sedia menghadapi banjir dengan kelengkapan logistik bot sebanyak 67 buah di 10 daerah di negeri ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 167 anggota terlibat dalam simulasi banjir untuk pengendalian bot enjin sangkut bertujuan mewujudkan kesefahaman antara semua agensi ketika operasi menyelamat mangsa banjir.

“Semua sedia maklum, setiap tahun Kelantan akan berdepan musim tengkujuh dan banjir. Cuma banjir dalam skala besar atau kecil, kita tetap dalam keadaan bersedia termasuk kerjasama dengan penduduk setempat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here