Home Koronavirus 63 anggota, pegawai polis daerah Kuantan positif Covid-19

63 anggota, pegawai polis daerah Kuantan positif Covid-19

63 anggota, pegawai polis daerah Kuantan positif Covid-19

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Seramai 63 anggota termasuk pegawai polis daerah Kuantan disahkan positif Covid-19, manakala 39 anggota lagi kini menjalani proses kuarantin sejak Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, daripada jumlah anggota yang disahkan positif itu, seramai 12 anggota sedang dirawat pada peringkat biasa, 20 anggota menjalani kuarantin di rumah dan 31 anggota lagi berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Selain itu, katanya, seorang pegawai kanan yang positif Covid-19 kini berada di unit rawatan rapi (ICU).

“Kes jangkitan ini berlaku dipercayai bermula pada 13 Julai lalu. Ketika itu hanya melibatkan beberapa anggota sebelum merebak dan menjangkiti anggota dan pegawai lain.

“Semua anggota dan pegawai terlibat kini dikecualikan daripada senarai penugasan. Kita berharap mereka segera sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran PKPD Bersasar Lokaliti Berisiko Daerah Kuantan di sekatan jalan raya (SJR) Jalan Tanjung Lumpur di sini pada lewat malam Sabtu.

Mohamad Noor berkata, bagi menampung kekurangan anggota untuk penugasan harian, pihaknya mendapatkan bantuan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

“Kita berterima kasih kepada Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf yang prihatin atas bantuan tersebut dalam memastikan penugasan polis di daerah ini berjalan dengan baik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here