Home Koronavirus 5,000 ibu bapa setuju anak divaksin di Kelantan

5,000 ibu bapa setuju anak divaksin di Kelantan

0
5,000 ibu bapa setuju anak divaksin di Kelantan

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menerima 5,000 borang persetujuan daripada ibu bapa yang membenarkan anak masing-masing berusia lima hingga 11 tahun diberi vaksin jenis Pfizer menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di negeri ini.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sebelum ini Jabatan Pendidikan Kelantan (JPN) mengedarkan 114,687 borang kepada ibu bapa murid berusia tujuh sehingga 11 tahun, namun yang dikembalikan hanya 14,000 borang setakat Ahad.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 5,000 ibu bapa setuju anak mereka menerima vaksin Covid-19 dan selebihnya mengatakan tidak setuju.

“Angka tersebut masih rendah berbanding jumlah keseluruhan 168,023 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Pelancaran PICKids di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Jefney Muhammad.

Dr Zaini berkata, masih ada ibu bapa yang belum membuat keputusan terhadap kebenaran vaksin kepada anak masing-masing serta tidak menolak kemungkinan ramai kalangan mereka yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Kita tetap menunggu dan berharap mana-mana ibu bapa yang berubah fikiran boleh hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di mana-mana klinik kesihatan.

“Bagi kami, peratus kebenaran yang sedia ada agak rendah dan kami perlu bekerja lebih kuat untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang bahaya Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, pihak JKNK bekerjasama erat dengan JPN bagi menyalurkan maklumat berkaitan kepentingan dan kebaikan vaksin terhadap kanak-kanak dalam mengurangkan tahap keseriusan jangkitan Covid-19.

“Kami menyediakan 400 fasiliti PPV termasuk di sekolah-sekolah rendah di negeri ini, klinik-klinik kesihatan dan swasta,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebanyak 34 kluster pendidikan masih aktif berlaku di Kelantan bermula pada pembukaan sesi persekolahan Januari lalu, berbanding jumlah keseluruhan 43 kluster.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here