Home Koronavirus 417,470 sudah lengkap dua dos vaksin

417,470 sudah lengkap dua dos vaksin

0
417,470 sudah lengkap dua dos vaksin

KUALA LUMPUR – Seramai 417,470 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi tempoh sama, 632,668 individu telah menerima dos pertama menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini 1,050,138.

Menerusi satu infografik dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, Dr Adham berkata, lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 86,577 diikuti Sarawak (65,580), Kuala Lumpur (62,724), Johor (57,248) dan Sabah (54,817).

Sementara, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 57,664 individu, diikuti Perak (47,007), Sabah (42,344), Kuala Lumpur (35,542) dan Pahang (32,839).

Dalam pada itu, jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah seramai 8,687,372 atau 35.8 peratus dengan Selangor merekodkan angka tertinggi melibatkan 2,306,344 pendaftaran.

Mengikut perancangan program imunisasi tersebut, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini akan membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini melibatkan 9.4 juta warga emas berusia 65 tahun ke atas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya (OKU), manakala fasa ketiga dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here