Home Koronavirus 375 pekerja Prolintas terima suntikan vaksin menerusi CIVac

375 pekerja Prolintas terima suntikan vaksin menerusi CIVac

375 pekerja Prolintas terima suntikan vaksin menerusi CIVac

SHAH ALAM – Seramai 375 warga kerja Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menerima suntikan vaksin Covid-19 pertama menerusi Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) di Kompleks Sukan Negara Panasonic di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, inisiatif tersebut merupakan kerjasama antara Prolintas dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi memastikan kesihatan dan keselamatan warga kerjanya.

Menurut beliau, ia juga selaras dengan usaha kerajaan bagi mempercepatkan pengambilan vaksinasi terhadap pekerja terlibat dalam industri perkhidmatan dan pembinaan.

“Kesihatan dan keselamatan adalah penting ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Sehubungan itu, inisiatif ini perlu dilaksanakan segera dan secara tidak langsung ia dapat menyumbang kepada pencapaian imuniti berkelompok,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohammad Azlan berkata, warga kerja yang terlibat dalam proses vaksinasi itu telah mendapat janji temu melalui aplikasi MySejahtera dan dijadualkan untuk menerima suntikan kedua dalam tempoh tiga minggu lagi.

Program vaksinasi tersebut melibatkan kakitangan Prolintas yang berkhidmat di ibu pejabat serta di empat lebuh raya seliaannya iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK).

Kakitangan yang bekerja di dua projek pembinaan lebuh raya juga terlibat iaitu Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

Prolintas kini mempunyai 630 pekerja dan lebih separuh dari jumlah tersebut sudah mendapat vaksinasi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here