Home Koronavirus 304,695 remaja di Johor sudah daftar vaksin Covid-19

304,695 remaja di Johor sudah daftar vaksin Covid-19

0
304,695 remaja di Johor sudah daftar vaksin Covid-19

JOHOR BAHRU- Seramai 304,695 remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negeri ini telah mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak ( PICK Remaja).

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, daripada jumlah itu seramai 6923 remaja telah menerima dos satu vaskin Covid-19 menerusi PICK Remaja di negeri ini bermula Isnin.

Katanya, pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 remaja dijalankan secara berperingkat mengikut peringkat umur antara 12 hingga 15 tahun dan 16 hingga 17 tahun selain ibu bapa dan penjaga perlu menandatangani borang persetujuan penerimaan suntikan vaksin.

“Bagi remaja yang berumur antara 12 hingga 15 tahun, pemberian vaksin Covid-19 akan diberi kepada mereka yang mempunyai komorbid. Mereka akan diberi janji temu di hospital atau klinik kesihatan di tempat mereka mendapatkan rawatan.

Komorbid adalah individu yang menghidap dua atau lebih penyakit yang tidak berkaitan secara serentak. Mereka ini berisiko tinggi mendapat banyak komplikasi jika dijangkiti Covid-19.

“Bagi remaja yang berumur antara 16 hingga 17 tahun, pemberian vaksin Covid-19 akan diberi kepada semua golongan ini tanpa mengira status kesihatan di dewan sekolah ataupun pusat pemberian vaksin yang akan dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa atau penjaga.

“Bagi remaja yang berumur antara 16 hingga 17 tahun yang tercicir dari sekolah, mereka ini boleh mendapatkan vaksin secara pandu lalu atau secara terus di pusat pemberian vaksin ( PPV) yang ditentukan oleh daerah masing-masing,” katanya menerusi kenyataan akhbar pada Selasa.

Menurut Vidyananthan, beberapa PPV awam dan integrasi melibatkan lima daerah telah dipilih untuk pelaksanaan pemberian vaksin untuk remaja.

“PPV terbabit ialah Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru dan Dewan Raya Bandar Putra Kulai.

“Bagi daerah Segamat, vaksinasi dijalankan di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, Taman Yayasan dan Labis, manakala daerah Pontian pula melibatkan Dewan Jubli Intan Pontian, Dewan Serbaguna Benut dan Dewan Tunku Ibrahim Benut.

“Daerah Mersing pula Dewan Jubli Intan Mersing dan Dewan Serbaguna Endau,” katanya.

Tambah beliau, bagi daerah yang tiada dalam senarai PPV terbabit, pelaksanaan program pemberian vaksin Covid-19 remaja akan dijalankan sepenuhnya di sekolah.

”Kerajaan negeri memohon agar ibu bapa dan penjaga remaja mematuhi tarikh janji temu yang diberi oleh pihak sekolah atau MySejahtera.

“Selain itu mereka juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memberi kerjasama kepada petugas PPV,”katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here