Home Koronavirus 3,000 tunggu giliran di CAC Stadium Malawati

3,000 tunggu giliran di CAC Stadium Malawati

0
3,000 tunggu giliran di CAC Stadium Malawati

SHAH ALAM – Pekarangan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati di sini masih menyaksikan ribuan orang ramai terpaksa beratur panjang bagi menanti giliran masing-masing untuk proses saringan seterusnya pada Khamis.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, CAC berkenaan masih menerima kehadiran dianggarkan sekitar 2,500 sehingga 3,000 individu yang disahkan positif Covid-19.

Pengurus Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) yang juga koordinator bagi kemudahan fasiliti diperlukan oleh CAC, Ahmad Sayuti Bashiron berkata, pihaknya masih menerima ramai pesakit kategori tiga dan empat yang memerlukan rawatan kecemasan susulan beberapa serangan seperti kesukaran bernafas.

“Jumlah kehadiran di sini masih ramai sama seperti sejak Isnin lalu. Kita juga kekal menggunakan prosedur operasi standard (SOP) seperti biasa,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Ahmad Sayuti berkata, pihaknya perlu mengutamakan kes kecemasan seperti sesak nafas sebaik sahaja memulakan operasi di CAC berkenaan pada jam 9 pagi setiap hari.

Menurutnya, operasi di CAC itu juga dijangka berlanjutan sehingga malam kerana perlu menguruskan beberapa kes kecemasan yang memerlukan bantuan.

“Apabila kami memulakan operasi setiap hari, setengah jam pertama perlu difokuskan untuk memberi keutamaan kepada kes sesak nafas dan sebagainya.

“Selepas itu, barulah operasi di CAC Stadium Malawati ini dapat berjalan seperti biasa,” jelas beliau.

Mengulas mengenai perkembangan di CAC berkenaan, Ahmad Sayuti berkata, individu yang hadir pada Khamis masih perlu beratur panjang sehingga ke jalan utama bagi menanti giliran untuk proses berikutnya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya mengambil inisiatif dengan mewujudkan empat barisan bagi memberi kemudahan kepada pesakit yang menunggu.

“Kita wujudkan empat barisan agar ia tidak terlalu panjang sehingga ke laluan utama di sini.

“Malah, kita juga memastikan mereka yang menunggu akan dilindungi daripada cuaca panas dengan pokok-pokok yang ada di sini,” katanya.

Pada Isnin, keadaan di CAC Stadium Malawati dilaporkan seperti berada dalam suasana peperangan apabila ribuan individu positif Covid-19 berpusu-pusu untuk melaporkan diri.

Lebih menyayat hati apabila kanak-kanak dan bayi antara yang disyaki positif turut beratur dan terpaksa berpanas sejak jam 11 pagi bagi melakukan penilaian kesihatan sebelum dilihat beredar kira-kira jam 3 petang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here