SEPANG – Seramai 2.679 juta warga emas mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 setakat Sabtu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada jumlah itu seramai 1.742 juta golongan tersebut sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19 manakala 568,000 individu terbabit selesai mendapat dua dos vaksin tersebut.
“Kita tidak pinggir sesiapa dan pendaftaran serta pemberian vaksin sedang giat dijalankan sama ada melalui institusi-institusi kita mahu pun sukarelawan yang kita gerak ke seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan dan lawatan ke beberapa Gerobok Rezeki di sekitar Sepang pada Jumaat.
Dalam pada itu, Rina berkata, warga emas yang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 boleh mendapatkan sijil digital melalui aplikasi MySejahtera yang didaftarkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, pendaftaran tersebut dibuat melalui aplikasi MySejahtera dengan menggunakan telefon pintar milik anak atau saudara-mara yang terdekat dan JKM akan menyimpan rekod mereka telah menerima vaksin Covid-19.