Home Koronavirus 15,000 individu terima vaksin di Universiti UCSI

15,000 individu terima vaksin di Universiti UCSI

15,000 individu terima vaksin di Universiti UCSI

KUALA LUMPUR – Seramai 15,000 individu menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti UCSI sejak 14 Jun lalu.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaafar berkata, PPV tersebut menerima seramai 1,300 individu setiap hari dan sebanyak empat doktor, 11 jururawat dan 40 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar serta staf universiti ditugaskan di situ.

Menurutnya, hasil lawatan di PPV itu, beliau mendapati keadaan berjalan dengan lancar bermula dari peringkat pertama sehingga ke peringkat terakhir.

“Saya dapat melihat bagaimana seseorang itu masuk mendaftarkan diri, disemak MySejahtera dan dipastikan benar tempat pemberian vaksin.

“Saya perhatikan semua peringkat ini dilakukan dengan kelancaran yang begitu bagus,” katanya ketika program kunjung hormat Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan di Universiti UCSI pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Naib Presiden (Hal Ehwal Perhubungan Kerajaan) Kumpulan UCSI, Datuk Professor Ir Dr Mohd Rizon Mohamed Juhari.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, orang ramai turut diminta mendaftar penerimaan vaksin supaya negara dapat mencapai imuniti kelompok sebelum hujung tahun ini.

“Saya sempat bertanya kepada beberapa orang yang telah disuntik vaksin.

“Saya boleh sebutkan semuanya tiada masalah, tiada kesan yang menakutkan atau negatif, maka salah satu cara untuk menghentikan pandemik Covid-19 adalah dengan vaksinasi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Muhammad Nasir berkata, pihaknya turut menyumbang 100 kotak pelitup muka kepada petugas barisan hadapan di PPV berkenaan.

Jelasnya, pemberian tersebut bagi meraikan pengorbanan petugas barisan hadapan yang sudah bertungkus lumus dalam memastikan proses pemberian vaksin berjalan dengan lancar.

“Kita mengharapkan dengan pemberian ini dapat membantu meraikan petugas barisan hadapan.

“Pelitup muka keluaran Karangkraf juga diperbuat daripada kualiti yang baik dan selesa digunakan,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here