PUTRAJAYA – Sebanyak 1,000 kotak bantuan bernilai RM250,000 sedang dalam perjalanan ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dr Ahmad Sany Araby Abdul Alim Araby berkata, bantuan itu akan diagihkan kepada penduduk yang terjejas susulan penutupan sektor pelancongan akibat pandemik Covid-19.
“Kita telah mengenal pasti 700 keluarga yang memerlukan bantuan ini,” katanya ketika ditemui pada pelepasan Misi Bantuan Ihsan: Panggilan Pulau ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian di sini pada Khamis.
Menurutnya, bantuan tersebut merangkumi 500 set lampin bayi, dan 500 set susu pelbagai serta bantuan asas lain.
“Biarpun bantuan ini bukanlah segalanya namun sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga di sana,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya berhadapan dengan cabaran logistik dari jeti ke kedua-dua pulau terbabit.
“Namun dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), ia berjaya diuruskan,” katanya.
Ahmad Sany berkata, pihaknya turut mengenal pasti individu T20 dan M40 yang kini telah jatuh kepada B40.
“Golongan ini ada rumah, ada kereta tetapi mereka senyap kerana perniagaan telah pun gulung tikar pada pandemik ini, jadi mereka juga akan kami santuni,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) misi bantuan tersebut hanya melibatkan 12 individu.
“Kesemua akan menjalani ujian calitan Covid-19 sebelum pelepasan, sebaik tiba di pulau dan selepas selesai misi bantuan,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memuji kepantasan Mapim dalam misi berkenaan.
“Usaha luar biasa dengan menggabungkan kedua-dua pulau dan bantuan ini setidak-tidaknya akan meringankan beban mereka di sana,” katanya.