Home Koronavirus 10 syor perkasakan Sistem Pengurusan endemik Covid-19

10 syor perkasakan Sistem Pengurusan endemik Covid-19

0
10 syor perkasakan Sistem Pengurusan endemik Covid-19

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen mengesyorkan 10 cadangan dalam memperkasakan Sistem Pengurusan Covid-19 di peringkat endemik.

Pengerusinya, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, antara cadangan itu ialah kerajaan perlu meningkatkan peruntukan bajet untuk sistem kesihatan kepada empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, di samping menambah baik strategi pengurusan pandemik Covid-19 berdasarkan sains dan data.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata, peruntukan itu adalah bagi menjamin sistem kesihatan yang lebih komprehensif sebagai persiapan negara mendepani pandemik dan persediaan ke arah endemik.

“Jawatankuasa turut mencadangkan pengurusan Covid-19 wajar melibatkan semua pihak termasuk pakar-pakar dari sektor swasta, akademia dan NGO.

“Berdasarkan parameter kesihatan awam yang sedia ada, jawatankuasa merumuskan bahawa negara kita belum bersedia untuk transisi secara penuh ke endemik Covid-19 buat masa ini sebelum syor dan rekomendasi diimplementasikan secara berkesan,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen pada Isnin.

Dr Kelvin berkata, kerajaan juga perlu menambah baik fungsi aplikasi MySejahtera melalui integrasi teknologi terutama untuk pengesanan kontak rapat.

“Perkara ini penting untuk dilaksanakan terutamanya untuk mengesan kes penularan Covid-19 yang melibatkan perhimpunan berskala besar atau ramai,” katanya.

Di samping itu, katanya, jawatankuasa turut mencadangkan agar kerajaan juga perlu telus dengan sumber terbuka yang lebih baik untuk data granular Covid-19 bagi setiap daerah atau mukim, selain memperkukuhkan strategi komunikasi untuk memupuk kebergantungan dan kepercayaan kepada dasar-dasar kerajaan berkaitan Covid-19. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here