Home belanjawan2021 [VIDEO] ‘Sokongan Belanjawan 2021 tertakluk kelulusan dua tuntutan’

[VIDEO] ‘Sokongan Belanjawan 2021 tertakluk kelulusan dua tuntutan’

0
[VIDEO] ‘Sokongan Belanjawan 2021 tertakluk kelulusan dua tuntutan’

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan Barisan Nasional (BN) bersedia menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan berjumlah RM322.5 bilion secara bersyarat.

Menurutnya, sokongan terhadap Belanjawan 2021 akan diberikan sekiranya kerajaan sedia meluluskan gesaan pelaksanaan moratorium secara pukal dan pengeluaran one-off RM10,000 daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Sebenarnya saya nak katakan bahawa bajet ini dibuat dalam masa luar biasa dan dalam hal ini pendirian BN seperti mana disarankan YB (Yang Berhormat) Bagan Datuk, kita nak supaya pengeluaran KWSP RM10,000 secara one off dan moratorium dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021 diluluskan kerajaan.

“Sokongan saya dan rakan-rakan kepada bajet ini tertakluk kepada kelulusan kedua-dua perkara ini, sokongan kita kepada bajet ini bersyarat. Kami sokong tapi bersyarat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan 2021 dibentangkan Jumaat lalu mengumumkan pengeluaran dana akaun satu KWSP hanya dibenarkan kepada golongan sasar terhad RM500 setiap bulan selama 12 bulan.

Perkara itu menyaksikan reaksi banyak pihak yang agak kecewa kerana mengharapkan cadangan pengeluaran sebanyak RM10,000 secara one-off yang dicadangkan oleh Najib yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) itu diluluskan.

Ahli Parlimen Pekan itu dalam perbahasan tersebut mengulangi saranan berkenaan dan menggesa kerajaan mempertimbangkannya semula mengambil kira dana berkenaan tidak termasuk dalam perbelanjaan kerajaan atau pengiraan defisit negara.

“Pada pendapat saya, dana ini amat diperlukan untuk menaikkan kitaran wang dalam ekonomi pada masa perbelanjaan kerajaan adalah terhad serta membantu rakyat yang amat terdesak dan terkesan pada masa ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here