Home belanjawan2021 Tun M umum tolak Belanjawan 2021

Tun M umum tolak Belanjawan 2021

0
Tun M umum tolak Belanjawan 2021

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan beliau dan ‘rakan-rakannya’ mengambil ketetapan menolak Belanjawan 2021 yang akan diundi di Dewan Rakyat esok.

Beliau berkata, keputusan itu dilakukan atas rasa tanggungjawab dan amanah yang dipegang bagi pihak rakyat kerana proses perbahasan Belanjawan yang dijalankan dilihat sangat mengecewakan.

“Selain daripada perbahasan yang terhad, tidak ada sebarang tanda di pihak kerajaan untuk mendengar atau menerima pandangan yang telah diajukan oleh ahli-ahli Parlimen mahupun kritikan rakyat yang boleh kita dengar rintihan mereka melalui laman-laman media sosial dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat.

“Sebaliknya, pihak kerajaan bertindak mengugut ahli-ahli Parlimen dengan naratif bahawa jika Belanjawan 2021 ditolak, maka gaji, elaun dan pencen penjawat awam dan ‘frontliners’ tidak dapat dibayar,” katanya dalam catatan terbaharu di blognya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi tidak menjelaskan siapakah yang dimaksudkannya sebagai ‘rakan-rakan’ itu sama ada merangkumi Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dilihat sehaluan dengannya atau turut melibatkan Pakatan Harapan (PH).

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan diasaskan Dr Mahathir sendiri sebelum ini mempunyai seramai empat ahli Parlimen.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir mendakwa, ugutan yang dilakukan kerajaan juga menjurus kepada cubaan menimbulkan rasa kurang senang rakyat bahawa jika Belanjawan 2021 tidak lulus maka bantuan-bantuan kewangan tidak akan sampai kepada rakyat yang amat memerlukan ketika ini.

Katanya, beliau sendiri sebelum ini telah menerangkan bahawa jika Belanjawan tidak lulus ia tidak akan menghalang penyaluran gaji, pencen dan elaun penjawat awam dan ‘frontliners’ serta bantuan kewangan untuk keperluan rakyat.

“Penyaluran kewangan tanpa Belanjawan diluluskan telah berlaku pada tahun 1999 untuk sesi Belanjawan tahun 2000.

“Selain itu, kerajaan juga memilih tidak menerangkan bahawa segala perbelanjaan untuk penjawat awam dan ‘frontliners’ sudah diperuntukkan sehingga akhir bulan Januari tahun 2021,” katanya.

Sebaliknya, Dr Mahathir menegaskan, sekiranya Belanjawan itu gagal mendapat sokongan majoriti ia akan membuktikan bahawa kerajaan telah hilang “legitimacy” (keabsahan) kerana ia tidak mempunyai majoriti yang cukup untuk melulus belanjawan.

“Apabila ini berlaku, jika perdana menteri seorang yang bermaruah dia akan meletak jawatan.

“Seterusnya, jika di dalam suasana biasa, dia boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen,” katanya.

Pun begitu, Dr Mahathir berpendapat bahawa mengadakan pilihan raya umum ketika negara dilanda pandemik koronavirus (Covid-19) bukanlah satu pilihan kerana boleh membawa kemudaratan lebih-lebih lagi mengambil kira pengalaman pilihan raya di Sabah.

“Kerana itu, proses yang mungkin boleh dipertimbang ialah memberi peluang kepada Parlimen untuk menentu siapakah dalam kalangan ahli-ahli Parlimen yang ada yang mempunyai sokongan majoriti.

“Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ahli Parlimen tersebut mempunyai sokongan majoriti, maka dia boleh dipilih untuk menjadi perdana menteri untuk menubuh kerajaan yang baru dan berkhidmat sehingga tamat penggal pemerintahan dan tiba masa untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.

“Setelah kerajaan baru dapat ditubuhkan, maka kerajaan ini boleh memilih untuk membentangkan belanjawan yang baru ataupun mengambil belanjawan yang telah ditolak dan dilakukan pindaan-pindaan yang telah diminta dahulu,” katanya.

Menurutnya, semua proses itu boleh dilakukan melalui sidang khas Parlimen dan tidak akan mengambil masa begitu lama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here