Home belanjawan2021 Teruskan projek di Sabah mampu yakinkan pelabur asing

Teruskan projek di Sabah mampu yakinkan pelabur asing

0
Teruskan projek di Sabah mampu yakinkan pelabur asing

[#item_custom_image_url]

KOTA KINABALU – Jaminan kerajaan Persekutuan menyambung dan meneruskan beberapa projek di Sabah diyakini akan menjadi pemangkin ekonomi selain mampu meyakinkan pelabur asing untuk melabur di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, antara yang menjadi perhatian dalam Belanjawan 2021 semalam termasuk menyambung semula pembinaan Lebuhraya Pan Borneo serta meneruskan Projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

“Sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian negeri juga, saya amat menyambut baik penyambungan Projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay, di bawah SDC kerana ini akan lebih meyakinkan pelabur asing untuk melabur di Sabah.

“Ini merupakan berita baik bari merangsang industri dan perdagangan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Joachim turut melahirkan keyakinan peruntukan khusus sebanyak RM5.1 bilion untuk Sabah bagi pembangunan infrastruktur mampu meningkatkan lagi taraf hidup penduduk di luar bandar.

“Peruntukan yang diumumkan semalam diharap akan dapat mempertingkatkan bekalan air, elektrik dan jalan raya serta kemudahan kesihatan dan pendidikan di negeri ini.

“Selain itu, insentif bagi membantu pekebun kecil getah serta peruntukan RM1.7 bilion bagi subsidi dan insentif untuk nelayan, subsidi harga dan baja padi termasuk penanam padi bukit di Nabawan juga amat dialu-alukan.

“Saya amat menyambut baik peruntukan untuk program Native Customary Rights di Sabah yang kita harap akan dapat menyelesaikan masalah berkaitan dengan Tanah Adat termasuk pemberian Geran Tanah melalui program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (Pantas),” katanya.

Dalam pada itu, Joachum berkata, peruntukan menaik taraf rangkaian asas telekomunikasi untuk meluaskan capaian jaringan internet di luar bandar juga akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

“Ia sudah pasti dinanti-nantikan oleh rakyat di kawasan pedalaman yang masih tidak mendapat kemudahan ini dan secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan peruntukan yang diberikan dalam Belanjawan 2021.

“Harapan saya adalah agar belanjawan kali ini dapat menggerakkan pembangunan di kawasan luar bandar dan dapat merangsang pertumbuhan industri di Sabah termasuk sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here