KOTA KINABALU – Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor hari ini membentangkan Belanjawan Sabah 2021 berjumlah RM4.3 bilion pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, yang memberi fokus kepada membangunkan ekonomi mampan demi kesejahteraan rakyat.
Belanjawan yang bertemakan ‘Rakyat Sejahtera Ekonomi Mampan’ itu berteraskan aspirasi dan komitmen kerajaan bagi menyemai semangat, nilai murni dan sikap kebertanggungjawaban dalam kalangan rakyat supaya bersatu dan bekerjasama membina kemajuan serta kejayaan negeri.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah, ketika membentangkan belanjawan pertama kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, kutipan hasil negeri tahun depan dianggarkan RM4.48 bilion menjadikan belanjawan lebihan RM178.7 juta.
“Anggaran hasil diunjur meningkat sebanyak tujuh peratus atau RM289.54 juta berbanding anggaran tahun semasa RM4.19 billion dengan peningkatan hasil ini adalah kerana wujudnya sumber hasil baharu daripada kutipan Cukai Jualan Negeri.
“Cukai jualan ke atas produk petroleum merupakan penyumbang terbesar dengan anggaran hasil RM1.25 bilion atau mewakili 27.9 peratus daripada keseluruhan anggaran hasil 2021,” katanya ketika berucap membentangkan belanjawan itu. – Bernama