Home belanjawan2021 Pelajar jadi mangsa jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan

Pelajar jadi mangsa jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan

0
Pelajar jadi mangsa jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10,233 buah sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan tidak dapat menyelenggara sebarang kerosakan yang berlaku pada premis sekolah terbabit sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan Khamis ini.

Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Dr Mohd Radzi Jidin berkata, ia sekali gus memberi kesan langsung terhadap semua pelajar terlibat untuk menikmati persekitaran pembelajaran selesa apabila sesi persekolahan bermula pada 20 Januari depan.

“Pihak kementerian sendiri melihat keperitan yang dialami warga sekolah ketika pandemik Covid-19 ini dalam melaksanakan penjarakan antara pelajar di dalam kelas yang memerlukan penggunaan bilik lain.

“Ada bilik darjah tidak boleh digunakan kerana bocor bertahun-tahun akibat tidak diselenggarakan. Jika dulu satu kelas boleh memuatkan 40 pelajar tetapi disebabkan Covid-19 mereka perlu dipecahkan kepada dua kumpulan.

“Dari sini timbul isu mereka tidak boleh menggunakan fasiliti berkenaan kerana tidak diselenggara dengan sempurna. Lebih memeritkan kos penyelenggaraan meningkat apabila fasiliti itu tidak diselenggara bertahun-tahun,” katanya pada sidang akhbar selepas Taklimat Peruntukan Belanjawan 2021 Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Justeru, Mohd Radzi berkata, beliau amat berharap Belanjawan 2021 diluluskan supaya proses penyelenggaraan di sekolah dapat dilaksanakan segera.

“Sedih apabila nak jawab soalan jika belanjawan tidak diluluskan ini kerana yang akan terkesan adalah anak-anak kita. Jadi sama-sama kita berdoa agar ia diluluskan.

“Kita mahu apabila sekolah dibuka nanti, anak-anak mendapat persekitaran selesa bagi meneruskan pembelajaran tambahan pula. Kita tidak tahu keadaan pada Januari depan adakah Covid-19 masih ada atau tidak,” katanya.

Sementara itu, ketika diajukan pertanyaan mengenai langkah kementerian mengagihkan perbelanjaan dalam keadaan negara masih berdepan pandemik Covid-19, Mohd Radzi berkata, pihaknya mahu melihat penyelenggaraan tersebut dibuat secepat mungkin menjelang awal tahun depan.

“Kita nak buka balik sekolah pada 20 Januari 2021. Mungkin waktu itu terlalu awal tapi kita susun siap-siap perancangan dan sekolah mana perlu penyelenggaran kritikal, maka ia dapat dilaksanakan.

“Apa yang penting ialah penyelenggaraan itu dilaksanakan. Ada bajet banyak tetapi tidak digunakan, ia sia-sia. Apa yang kita mahu pastikan ialah kita gunakan sebaik mungkin,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here