Home belanjawan2021 Komited bela nasib pekerja

Komited bela nasib pekerja

0
Komited bela nasib pekerja

PUTRAJAYA – Belanjawan 2021 yang diumumkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lalu jelas menunjukkan komitmen kerajaan Malaysia terhadap aktiviti pengukuhan ekonomi negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, komitmen kerajaan dalam pengukuhan ekonomi itu dapat dilihat melalui pemerkasaan modal insan dan pasaran buruh semasa.

Bagi mencapai hasrat tersebut, beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima peruntukan sebanyak RM1.288 bilion bagi perbelanjaan tahunan kementerian itu bagi tahun 2021.

Di samping itu menurutnya, peruntukan sebanyak RM4.134 bilion merangkumi peruntukan program perlindungan sosial, latihan kemahiran dan insentif pengambilan pekerja.

Menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sejumlah RM1.5 bilion diperuntukkan untuk Program Subsidi Upah 2.0 di mana had 200 pekerja dinaikkan kepada 500 orang untuk syarikat besar di bawah sektor pelancongan dan peruncitan.

“Sebagai kesinambungan kejayaan PenjanaKerjaya pula sejumlah RM2 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan PenjanaKerjaya 2.0 menerusi beberapa insentif.

“Antaranya insentif untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan, kepada 40 peratus daripada gaji bulanan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini semalam.

Di samping itu, katanya, pengambilan pekerja orang kurang upaya (OKU), penganggur jangka panjang, ibu tunggal dan pekerja diberhentikan, majikan akan diberi lagi insentif tambahan sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan pekerja berkenaan.

Menurutnya, insentif tambahan sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan turut ditawarkan kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing.

“Kadar maksimum program latihan juga dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM7,000 bagi menjalani program kemahiran tinggi atau sijil profesional.

“Selain itu, insentif RM1,000 diperuntukkan kepada perantis selama tiga bulan dengan geran latihan sehingga RM4,000 bagi Program Perantisan untuk graduan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Belanjawan 2021 juga tidak meminggirkan kepentingan jaringan keselamatan sosial untuk golongan pekerja.

Berikutan itu, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri bagi Perlindungan Bencana Kerja turut diperluaskan kepada anggota pasukan sukarelawan.

“Antaranya pasukan Sukarelawan Angkatan Tentera, Sukarelawan Simpanan Polis, Sukarelawan Pertahanan Awam Malaysia, dan Sukarelawan Maritim Malaysia.

“Malah perlindungan itu merangkumi guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan merbut termasuk pekerja sektor awam berstatus contract for service dan 40,000 delivery riders,” katanya.

Tambahnya, menerusi Sistem Insurans Pekerjaan, tempoh elaun mencari pekerjaan akan dilanjutkan selama tiga bulan dan kadar layak menuntut daripada 80 peratus gaji bagi bulan pertama.

“Seterusnya sebanyak 50 peratus bagi bulan kedua hingga keenam dan seterusnya 30 peratus bagi tiga bulan terakhir dan untuk tujuan itu, peruntukan sebanyak RM150 juta akan disediakan,” katanya.

Sementara itu, bagi program Upskilling and Reskilling turut dilanjutkan dengan peruntukan RM100 juta kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) bagi melaksanakan program latihan dan kerja secara usahasama dengan majikan sektor swasta.

“Pengecualian levi di bawah HRDF juga dilanjutkan khusus kepada syarikat-syarikat yang terkesan di bawah sektor pelancongan bagi tempoh 6 bulan bermula Januari 2020,” katanya.

Beliau berkata, bagi menggalakkan lagi penyertaan kepada program latihan kemahiran pula, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) diperuntukkan sebanyak RM300 juta.

Menurutnya, peruntukan tersebut untuk menyediakan pinjaman kepada 24,000 peserta program TVET di institusi latihan kemahiran awam dan swasta.

“Malah elaun bulanan di bawah Sistem Latihan Dual Nasional Plus atau SLDN Plus juga dinaikkan daripada RM625 kepada RM1,000 dengan peruntukan sebanyak RM60 juta,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KSM menyambut baik segala usaha dan perancangan kerajaan dalam belanjawan kali ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here