SHAH ALAM – Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman menegaskan Belanjawan 2021 mungkin tidak sempurna namun ia mencukupi bagi mengimbangi segala keperluan dan kehendak semasa.
Beliau menerusi ciapan di Twitter hari ini berkata, ia bersifat prihatin, bersasar serta menumpukan aspek perlindungan kebajikan, rangsangan ekonomi dan penjanaan pendapatan.
“Terlebih penting adalah kualiti penyampaian (delivery) dan keberkesanan segala bantuan dan projek yang diumumkan, diikuti proses pemantauan berterusan, dipandu oleh kecekapan dan integriti yang tinggi di pihak kerajaan.
“Sementara itu, akses dan kecaknaan rakyat (awareness) terhadap segala bantuan kerajaan juga perlu dipertingkatkan, bagi memastikan Belanjawan 2021 dapat diagih secara saksama dan dikongsi secara bersama,” ciapnya.
Terdahulu, Belanjawan 2021 dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas membabitkan peruntukan terbesar dalam sejarah sebanyak RM322.5 bilion, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.
Bagaimanapun, belanjawan yang dilihat memberi manfaat kepada rakyat itu mendapat reaksi daripada pelbagai pihak yang sebahagiannya melihat ia tidak realistik dan perlu diperbaiki semula sebelum dapat diluluskan.