Home belanjawan2021 KPWKM sifatkan Belanjawan 2021 mesra keluarga

KPWKM sifatkan Belanjawan 2021 mesra keluarga

0
KPWKM sifatkan Belanjawan 2021 mesra keluarga

SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyifatkan Belanjawan 2021 sebagai belanjawan mesra keluarga apabila kementerian itu menerima peruntukan berjumlah RM2.584 bilion dengan peningkatan 4.5 peratus berbanding tahun lepas.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.458 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus manakala RM126 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

Menurutnya, dana tersebut akan memberi manfaat kepada kumpulan sasar utama KPWKM dalam menghadapi cabaran pasca pandemik koronavirus (Covid-19).

“Saya rasa bersyukur apabila diumumkan peruntukkan sejumlah RM2.2 bilion untuk kenaikan kadar bantuan bulanan yang memanfaatkan kepada 400,000 penerima orang kurang upaya (OKU), warga emas, pesakit kronik dan kanak-kanak keluarga miskin serta penjaga.

“Golongan OKU turut menikmati keistimewaan pas perjalanan tanpa had dan had pelepasan cukai kepada pasangan OKU dinaikkan daripada RM3,500 kepada RM5,000.

“Saya amat gembira apabila elaun petugas Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dinaikkan daripada RM800 kepada RM1,200 manakala penyelia PDK naik daripada RM1,200 kepada RM1,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Rina menyifatkan Belanjawan 2021 itu juga mesra wanita dan meminta usahawan wanita supaya merebut peluang mendapatkan pembiayaan mikro kredit khas, Ar-Rahnu BizNita dan BizMe di bawah inisiatif Memperkasa Golongan Wanita.

Selain itu ujarnya, kerajaan prihatin kepada kesihatan wanita apabila menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk saringan kanser serviks dan ujian mamogram.

“Peruntukan khusus untuk membina pusat jagaan kanak-kanak di bangunan kerajaan dan swasta serta pembinaan Pusat Sokongan Sosial Setempat sebagai perlindungan kepada wanita terutama yang menghadapi masalah keganasan rumah tangga.

“Seramai 2,000 sukarelawan dan lebih 8,000 warga emas dan OKU akan menerima manfaat daripada kenaikan elaun Program Khidmat Bantu di rumah.

“Saya mengalu-alukan NGO agar bersama-sama KPWKM menyantuni warga emas bagi pengendalian pusat aktiviti warga emas (PAWE) apabila kerajaan menaikkan bantuan kewangan untuk pengoperasian PAWE daripada RM33,000 kepada RM50,000,” jelasnya.

Tambahnya, majikan yang menggaji warga emas akan diberi potongan cukai tambahan sehingga 2025.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here