Home belanjawan2021 Bantuan kepada golongan rentan hadapi ketidaktentuan ekonomi

Bantuan kepada golongan rentan hadapi ketidaktentuan ekonomi

0
Bantuan kepada golongan rentan hadapi ketidaktentuan ekonomi

KUALA LUMPUR – Bantuan secara langsung dan tidak langsung kepada golongan rentan dalam Belanjawan 2021 akan memberikan kelegaan mencukupi untuk mereka meneruskan kehidupan dalam ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik koronavirus (Covid-19) tahun depan.

Profesor Ekonomi Kajian Perniagaan Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata, langkah-langkah yang dirancangkan termasuk bantuan wang tunai di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), bantuan kewangan untuk golongan kurang upaya dan bantuan bayaran balik pinjaman bersasar B40, tentunya akan meringankan impak terhadap ketidakpastian kedudukan kewangan.

“(Di bawah Belanjawan 2021) Terdapat juga insentif dan subsidi upah, program peningkatan dan penambahan kemahiran, dan beberapa langkah perlindungan sosial lain.

“Kesemua langkah ini akan memberikan penerima, kelegaan mencukupi untuk tahun 2021, jika ekonomi gagal pulih,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukan RM6.5 bilion untuk BPR yang akan dimanfaatkan 8.1 juta orang dan peruntukan RM2.2 bilion bagi membantu golongan kurang upaya.

Tengku Zafrul juga mengumumkan yang kerajaan akan mempertingkatkan bantuan bayaran balik pinjaman bersasar, yang akan termasuk pilihan pembayaran semula untuk B40, M40 dan perusahaan mikro-IKS.

Menurut Kim Leng, adalah penting bagi Jabatan Kebajikan Masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk mencari mereka yang terjejas teruk akibat krisis Covid-19, tetapi atas sebab-sebab tertentu gagal untuk menerima bantuan.

Beliau berkata, menerusi pengumpulan data dan program pemberian wang tunai yang banyak dilakukan sejak sekian lama, kerajaan seharusnya mempunyai satu pangkalan data yang komprehensif, mengenai kumpulan yang memerlukan dan kurang bernasib baik.

“Satu jangka masa yang terbuka dan mudah diakses untuk mendaftarkan penerima baru perlu disediakan bagi memasukkan mereka yang tertinggal dan golongan yang kedudukan kewangan mereka yang tanpa disedari bertambah buruk tahun hadapan,” katanya.

Kim Leng berkata, bantuan kewangan tambahan kepada isi rumah berpendapatan rendah akan diperlukan, jika pandemik ini berterusan dan pemulihan ekonomi gagal untuk dilaksanakan pada separuh kedua tahun 2021.

Selain daripada kumpulan rentan dan B40, Belanjawan 2021 juga menyenaraikan beberapa insentif untuk barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM), sebagai penghargaan kepada perkhidmatan mereka, termasuk pembayaran ‘one-off’ RM500 dan penerusan elaun bulanan RM600 sehingga pandemik ini dapat diatasi.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Profesor Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, pembayaran ‘one-off’ itu akan dimanfaat kira-kira 100,000 barisan hadapan KKM, akan menjadi satu pendorong semangat untuk mereka.

Beliau berkata, ketika pengumuman itu tentunya akan meningkatkan semangat barisan hadapan, namun kerajaan juga perlu melihat kepada pegawai perubatan kontrak yang masih belum pasti mengenai masa hadapan mereka.

“Ketika pembayaran ‘one-off’ satu peringkat semangat, ia hanya sementara kerana mereka (pegawai kontrak) tidak pasti sama ada mereka masih mempunyai pekerjaan atau tidak di masa hadapan. Ramai dalam kalangan barisan hadapan berhadapan ketidaktentuan masa depan pekerjaan, kerana ramai daripada mereka adalah pekerja kontrak,” katanya.

Sementara itu Dr Subramaniam berkata, agak sukar untuk meletakkan satu jumlah dalam menangani pandemik dan RM1 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 bagi menangani Covid-19 mungkin satu jumlah yang mencukupi, tetapi tiada satu kepastian mengenainya.

“Sepatutnya ada ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam perbelanjaan peruntukan ini, dengan penggunaan satu sistem tender dan proses perolehan, bagi memastikan kawalan kepada belanjawan itu dan mengelakkan sebarang pembaziran,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here