Home bajet2022 Satu lagi bajet dijangka bantu Malaysia hadapi cabaran Covid-19 pada 2022

Satu lagi bajet dijangka bantu Malaysia hadapi cabaran Covid-19 pada 2022

0
Satu lagi bajet dijangka bantu Malaysia hadapi cabaran Covid-19 pada 2022

KUALA LUMPUR – Walaupun Malaysia berada di peringkat akhir strategi 6R (ketegasan, berdaya tahan, menjana semula, pemulihan, memperkasa dan menyusun semula) untuk keluar daripada pandemik Covid-19 dan beralih kepada fasa endemik, semua mata akan tertumpu pada Bajet 2022 dan manfaat yang ditawarkannya.

Kerajaan dijangka terus memberi tumpuan kepada langkah-langkah untuk melindungi nyawa dan memulihkan kesejahteraan, membina semula perniagaan dan memangkin pembaharuan pasca pandemik.

Sebagai bajet pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang pertama sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan, Bajet 2022 dijangka terus bercirikan pengembangan dan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan RMK12 yang akan memacu pertumbuhan ekonomi, keterangkuman dan kemampanan dalam jangka sederhana, berdasarkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Menurut Kenyataan Pra–Bajet pertama yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) pada Ogos, kerajaan akan memastikan bajet tersebut komprehensif dan inklusif, selaras dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’, dengan tiada individu atau perniagaan yang tercicir dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan, terutamanya mereka yang terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan pada 2021.

Bajet 2022, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober 2021, akan turut memastikan kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam memacu pemulihan ekonomi, menurut MoF.

Bagi membantu negara pulih daripada krisis kesihatan dan ekonomi, penganalisis menjangka satu lagi bajet dengan peruntukan yang besar kali ini, berbanding RM322.5 bilion yang diumumkan dalam bajet sebelum ini (yang kemudian disemak semula kepada RM314.8 bilion).

Sektor penjagaan kesihatan dilihat sebagai penerima manfaat terbesar walaupun hutang kerajaan Persekutuan meningkat kepada 61.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan paras hutang statutori sebanyak 56.8 peratus sehingga Jun 2021.

Bajet 2021 merupakan yang terbesar dalam sejarah Malaysia apabila ia diumumkan pada tahun lepas.

Menurut Ahli Ekonomi UOB Bank, Julia Goh dan Loke Siew Ting, jumlah perbelanjaan kerajaan diunjurkan meningkat 2.9 peratus kepada RM338 bilion pada 2022, menjadikannya lebih besar daripada bajet sebelumnya.

Kerajaan juga dijangka terus membantu sektor yang paling teruk terjejas akibat pandemik seperti pelancongan, peruncitan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Ini sebahagiannya akan diimbangi oleh anggaran kutipan hasil sebanyak RM230 bilion, menyebabkan kekurangan fiskal sebanyak RM107.3 bilion pada 2022. Jurang bajet bersamaan dengan 6.5 peratus daripada KDNK pada tahun depan, lebih kecil daripada anggaran tujuh peratus daripada KDNK pada tahun ini,” kata mereka dalam nota penyelidikan.

Langkah berterusan untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula pekerja turut dapat dilihat selain melindungi dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat.

“Mungkin pengumuman bajet kali ini akan memberi lebih banyak penjelasan mengenai bagaimana kerajaan merancang untuk mengurangkan jurang bajet, berdasarkan RMK12 telah menunjukkan kekurangan fiskal sebanyak 3.0 hingga 3.5 peratus daripada KDNK menjelang 2025, berbanding anggaran 2022 sebanyak 6.5 hingga 7.0 peratus,” kata Ketua Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

Dari segi hasil cukai, walaupun terdapat permintaan supaya kerajaan mengkaji untuk melaksanakan cukai keuntungan luar biasa dan cukai keuntungan modal atau memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pakar menjangka tiada cukai baharu akan dilaksanakan dalam Bajet 2022 kerana persekitaran yang tidak menentu disebabkan Covid-19 di peringkat domestik dan global yang boleh menjejaskan kestabilan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Bagaimanapun, dalam Kenyataan Pra–Bajetnya, MoF menyatakan kerajaan sedang mempertimbangkan langkah-langkah untuk meningkatkan hasil cukai melalui peningkatan pematuhan cukai.

Cadangan dalam kajian termasuklah pelaksanaan Program Pendedahan Sukarela Khas (SVDP) untuk cukai tidak langsung yang ditadbir oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ia turut mencadangkan pengenalan sijil pematuhan cukai sebagai pra-syarat untuk penender yang mengambil bahagian dalam perolehan kerajaan.

“Ketiga, pelaksanaan nombor pengenalan cukai (TIN) dan mengkaji semula pelaksanaan cukai yang dikenal pasti mempunyai elemen ketirisan hasil atau amalan berbahaya,” katanya.

Kajian semula yang menyeluruh terhadap rangka kerja insentif cukai turut dijalankan untuk memastikan insentif cukai yang ditawarkan kepada pelabur asing dan tempatan kekal relevan dengan landskap perniagaan semasa selain terus mengekalkan daya saing negara dalam menarik pelaburan berkualiti.

Sementara itu, terdapat kemungkinan lebih banyak peruntukan untuk projek berkaitan infrastruktur.

“Senarai projek lebuh raya dan kereta api telah dinyatakan dalam RMK12, dan kami menjangka akan turut ditampilkan dalam Bajet 2022,” kata Ahli Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Abdul Mui’zz Morhalim kepada Bernama.

Antara projek itu ialah Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT), Laluan Kereta Api Pantai Timur, Lebuhraya Pan Borneo, Lebuhraya Pantai Barat dan Lebuhraya Central Spine Road. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here