Home bajet2022 Rayu kerajaan luluskan harga lantai getah sekerap RM3.50 sekilogram

Rayu kerajaan luluskan harga lantai getah sekerap RM3.50 sekilogram

Rayu kerajaan luluskan harga lantai getah sekerap RM3.50 sekilogram

KUALA LUMPUR – Kerajaan dirayu meluluskan cadangan menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Ahli Parlimen Baling (BN), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kenaikan itu juga diyakini akan dapat menyelesaikan masalah miskin tegar di negara ini.

Menurutnya, kenaikan harga itu juga amat mendesak selain dituntut dan dibincangkan ramai ahli Parlimen sejak dahulu.

“Kalau kita lihat hari ini, isu getah sudah lama dibincangkan dalam dewan ini dan permintaan untuk dapatkan harga RM3.50 (sekilogram) dibuat sejak dahulu, malah ramai ahli Parlimen bercakap isu sama tetapi malangnya sampai hari ini, kita belum mendapat sebarang keputusan.

“Justeru, saya merayu dalam penggulungan (Bajet 2022) oleh Menteri Kewangan nanti, berilah berita gembira mengenai kelulusan harga lantai getah RM3.50 sekilogram,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2022 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata, kelulusan itu akan menggembirakan pekebun-pekebun kecil seluruh negara termasuk Kedah dan Sabah.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merealisasikan projek ‘Kedah Rubber City’ yang sekian lama tertangguh.

“Kita pernah ada dua kali Perdana Menteri dari Kedah dan pernah anak beliau menjadi Menteri Besar, tapi tetap tak dapat laksanakan ‘Kedah Rubber City’ ini,” jelasnya.

Kata Abdul Azeez, menerusi pelaksanaan projek itu, negara menerima RM5 bilion pelaburan baharu dan menyediakan peluang pekerjaan kepada 1,600 anak-anak negeri Kedah.

“Ini yang kita perjuangkan sekian lama, akhirnya Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera telah melaksanakannya.

“Ini kerana Perdana Menteri adalah anak seorang penoreh getah. Beliau tahu, dengar dan merasa denyut nadi pekebun kecil dan penoreh getah seluruh negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here