Home bajet2022 Pembangkang tidak patut putar belit fakta Bajet 2022

Pembangkang tidak patut putar belit fakta Bajet 2022

0
Pembangkang tidak patut putar belit fakta Bajet 2022

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen meminta pihak pembangkang supaya tidak memanipulasi fakta berkenaan Bajet 2022 yang dibentangkan Jumaat lepas.

Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) berkata, pihak pembangkang tidak sepatutnya memutar belit isu mengenai kesaksamaan pembahagian dana kepada negeri-negeri dengan membahagikan jumlah keseluruhan bajet itu.

“Mengenai bajet ini, (jumlah keseluruhan) RM332.1 bilion tetapi perbelanjaan (mengurus) RM233.5 bilion, (perbelanjaan) pembangunan sahaja RM75.6 bilion, sepatutnya kalau kita bahagikan 11 negeri, dua wilayah sepatutnya satu negeri atau wilayah dapat RM5.82 bilion.

“Tetapi pembangkang sudah putar belit, dia masuk (kira) jumlah RM332.1 bilion itu (kemudian) bahagi, tak patut, pasal gaji polis kerajaan Persekutuan bayar, perkhidmatan perubatan semua kerajaan Persekutuan bayar, kita jangan keliru,” katanya.

Beliau bagaimanapun turut meminta kerajaan supaya meningkatkan peruntukan pembangunan Sarawak pada 2023 agar penaiktarafan kawasan luar bandar dan infrastruktur negeri itu dapat dilaksanakan.

Sementara itu, wakil rakyat dari Sarawak, Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) pula berkata, Sarawak perlu menerima peruntukan pembangunan lebih tinggi berdasarkan saiz demografinya yang lebih besar berbanding Sabah.

“Kita harus lihat dari segi kesaksamaan pembangunan untuk wilayah terutama di Sabah dan Sarawak, dari peruntukan pembangunan Sabah menerima RM5.2 bilion (manakala) Sarawak RM4.6 bilion.

“… RM4.6 bilion hanya enam peratus daripada jumlah peruntukan pembangunan, walaupun saya tahu secara asasnya ada peningkatan RM0.1 bilion tapi dengan izin ia mungkin satu kenaikan tetapi bukan belanjawan yang mencukupi,” katanya dan menambah Sabah juga memerlukan lebih banyak peruntukan pembangunan.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) pula berkata, Sabah dan Sarawak menyumbang hampir RM145 bilion melalui keuntungan hasil petroleum kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun lepas iaitu merangkumi 45 peratus daripada jumlah Bajet 2022.

Bagi mencapai kemakmuran negara, Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, kerajaan perlu berlaku adil kepada semua negeri dengan janji yang dibuat kepada Sabah dan Sarawak ketika penubuhan Malaysia 1963 mesti dikotakan.

Sesi perbahasan rang undang-undang itu yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat disertai 31 ahli Parlimen pada Selasa.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung pada Rabu. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here