Home bajet2022 Peruntukan RM11 bilion kepada KKDW bukti komitmen kerajaan

Peruntukan RM11 bilion kepada KKDW bukti komitmen kerajaan

Peruntukan RM11 bilion kepada KKDW bukti komitmen kerajaan

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen hari ini.

 -Foto Bernama

PUTRAJAYA – Peruntukan RM11 bilion kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) membuktikan komitmen tinggi kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi peruntukan itu, lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan di desa termasuk di kawasan pedalaman.

“Bukan sahaja dari segi infrastruktur malah juga dari segi ekonomi, sahsiah, spiritual dan modal insan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, peruntukan itu seterusnya dapat menyokong pembangunan sosio-ekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera dan makmur seperti mana yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.

“Di bawah peruntukan pembangunan, usaha-usaha pembangunan infrastruktur asas di luar bandar akan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, ia termasuk peruntukan RM1.5 billion untuk jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa.

“Selain itu, sebanyak RM176 juta telah diperuntukkan untuk menaik taraf serta menambah baik premis dan kemudahan perniagaan termasuk di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), selain premis di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Uda Holdings Berhad (UDA),” katanya.

Ahmad Zahid berkata, KKDW juga menyambut baik peruntukan RM6.7 billion untuk program TVET yang turut meliputi 280 institusi TVET di bawah kementerian.

“KKDW juga menghargai saranan supaya 90 peratus graduan TVET menerima gaji lebih RM2,000 yang dijangka akan turut memberi manfaat kepada kira-kira 59,000 pelajar TVET,” katanya.

Ujar beliau, MARA sebagai salah satu institusi utama TVET di bawah KKDW juga komited untuk merintis penglibatan institusi TVET Persekutuan dengan industri terutamanya di kalangan GLC untuk mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya penyediaan program latihan bagi memenuhi keperluan industri berkenaan.

Selain itu beliau berkata, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah diperuntukkan RM256 juta bagi Bantuan Musim Tengkujuh yang mana kadarnya telah dinaikkan daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan.

“Bantuan Musim Tengkujuh ini akan memberi manfaat kepada 320,000 pekebun kecil,” katanya.

Menurutnya, palam masa yang sama, pendapatan minimum penoreh getah dapat dipertingkat melalui kenaikan Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.50 kepada RM2.70 yang melibatkan peruntukan RM350 juta.

“Manakala FELCRA pula akan menerima peruntukan untuk membangunkan tanah-tanah terbiar untuk projek tanaman makanan bagi meningkatkan keterjaminan makanan negara,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, kementerian juga memberi penekanan untuk pendidikan awal kanak-kanak terutamanya di kawasan luar bandar.

“Dalam hal ini, pembinaan 80 buah TASKA dan TABIKA KEMAS akan diteruskan termasuk 13 projek baharu untuk memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak daripada umur 2 hingga 6 tahun,” katanya.

Beliau berkata, KKDW akan memastikan peruntukan RM11 billion yang diterima pada tahun ini akan dimanfaat dan digunakan untuk pemugaran desa dan memperkasa penduduk desa dalam mendepani cabaran globalisasi.

“KKDW juga akan melaksanakan pemantauan berkala bagi program utama melalui Dashboard KKDW bagi memastikan peruntukan ini dirasai oleh penduduk desa,” katanya.