Home bajet2022 Pergiat operasi lawan sindiket penipuan dalam talian

Pergiat operasi lawan sindiket penipuan dalam talian

0
Pergiat operasi lawan sindiket penipuan dalam talian

Steven Sim

SHAH ALAM – Peruntukan RM10 juta bagi mengukuhkan peranan Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) dalam pembentangan Belanjawan 2023 akan digunakan bagi tujuan menambah bilangan kakitangan untuk memperkasa operasi melawan sindiket penipuan dalam talian.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong berkata, peruntukan tersebut digunakan bagi menambah bilangan operator telefon di NSRC daripada 10 kepada 20 orang selain waktu operasi juga akan dipanjangkan tempohnya.

Menurutnya, jumlah penambahan penganalisis kes adalah daripada tujuh kepada 20 orang, sementara Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan bilangan anggota daripada dua ke 70 orang di NSRC.

“Kita ada pusat respon scam kebangsaan (NSRC) dengan talian 997 tapi malangnya tidak cukup kakitangan dan sumber sebelum ini. Ada 200 hingga 300 panggilan aduan setiap hari, hanya ada tujuh orang penganalisis kes yang akan merumuskan kes sebelum dihantar ke PDRM.

“Bila saya melawat mereka, ada mereka yang kata sibuk sehingga tak ada masa nak cuti sakit.

“Saya terharu sebab mereka bukan saja tidak mengeluh malah bangga berkata bahawa ini bakti kepada negara,” katanya dalam hantaran Facebook pada Sabtu.

Ujarnya, dengan pengumuman tersebut kerajaan akan memastikan dasar dan sistem kewangan lebih baik mampu menjamin keselamatan wang rakyat.

Pihaknya juga berusaha memperjuangkan penambahbaikan dasar dan perundangan lain bagi memastikan agensi penguat kuasa akan dapat menumpaskan sindiket scam dengan lebih berkesan serta proses pemulangan duit kepada mangsa menjadi lebih lancar.

“Selama ini, ada mangsa yang hubungi saya minta bantu pulangkan duit mereka. Saya tahu mereka amat-amat berharap.

“Justeru, lebih penting bagi saya ialah memastikan dasar dan sistem kewangan yang lebih baik serta menjamin keselamatan wang rakyat,” ujarnya.

Menurut beliau, kajian dan laporan terhadap isu itu telah dibincangkan bersama Perdana Menteri agar dapat mengukuhkan sistem kewangan yang lebih selamat.

Ujarnya, setiap anggota perlu cakna tentang taktik yang digunakan oleh pihak sindiket tersebut supaya rakyat tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian.

“Saya tahu ini hanya permulaan. Malah saya beritahu pegawai-pegawai yang terlibat, jangan kita leka.

“Setiap kemas kini yang kita buat, scammer akan upgrade lagi taktik dan teknologi mereka. Kita harus sentiasa waspada untuk melawan scam dan melindungi wang rakyat,” katanya.